MIRI: Sebuah bot tunda membawa tongkang bersama lapan warga Indonesia tanpa dokumen sah pelepasan pelabuhan dikesan berada di perairan Miri, semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten (M) Md Fauzi Othman berkata, tangkapan dilakukan menerusi Ops khas antara Maritim Malaysia Zon Miri dan Miri Port Authority sekitar jam 5.30 petang.

Menurutnya, pemerhatian awal mendapati bot terbabit dikesan sedang memunggah muatan pada jarak sekitar sembilan batu nautika dari muara sungai Miri sebelum diserbu oleh pasukan menerusi bot ronda Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai dua warga tempatan dan lapan warga Indonesia sebagai kru bot serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.

“Walaubagaimanapun, mereka gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan setelah diminta oleh penguat kuasa,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, bot tersebut telah dibawa ke kawasan Bersauh Miri untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 atas kesalahan gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan atau ‘Port Clearance’ semasa pemeriksaan dijalankan.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat awam untuk membantu menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah perairan bagi memastikan jenayah di laut dapat dibanteras secara keseluruhan.

Ujarnya, orang awam yang mempunyai masalah kecemasan di laut juga boleh segera menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Malaysia Sarawak di talian 082-432544.