IBARAT menulis cerpen, begitulah cereka politik Malaysia, yang kini dalam proses pengembangan jalan cerita. Prosesnya semakin menaik dan pada bila-bila masa sahaja akan menuju tahap klimaks (pilihan raya), sebelum peleraian.

Ceritanya bermula dengan pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh, kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

Ketika nama Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencanak untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri kelapan, tidak semena-mena Tan Sri Muhyiddin diangkat oleh majoriti ahli parlimen dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri, yang kemudian berperang dengan Covid-19.

Reda sedikit dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), graf politik negara kembali menaik apabila Pakatan Harapan (PH) Plus mahu merampas kembali Putrajaya. Dua ikon politik negara, Dr Mahathir dan Anwar sekali lagi menjadi watak utama cerita ini.

Masing-masing mahu menjadi Perdana Menteri selepas Muhyiddin. Dr Mahathir menamakan namanya sebagai bakal Perdana Menteri kesembilan dan begitu juga Anwar.

Kemudian dua opsyen dibentangkan iaitu Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Anwar sebagai timbalannya, ataupun Anwar sebagai Perdana Menteri dan Dr Mahathir sebagai timbalan.

Cerita dikembangkan lagi, Anwar menamakan dirinya sebagai Perdana Menteri manakala Dr Mahathir sebagai Menteri Mentor, yang ditolak mentah oleh Dr Mahathir. PKR ketika itu menolak nama Dr Mahathir.

Beberapa hari kemudian, Dr Mahathir mengumumkan orang Borneo – Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri, sementara timbalan ialah Anwar dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara di pihak Perikatan Nasional (PN), mereka sudah mempunyai satu nama tetapi belum bersedia untuk diumumkan.

Memasuki bab seterusnya, ceritanya masih tentang pilihan raya. Sarawak menanti Pilihan Raya Negeri, yang tidak mustahil akan disekalikan dengan Pilihan Raya Umum. Ketika suasana politik Semenanjung lebih kepada pemilihan Perdana Menteri, di Sarawak gerak kerja meraih undi semacam sudah bermula.

Kecuali Gabungan Politik Sarawak (GPS), parti lawan sudah mula mencanang nama-nama yang bakal bertanding dalam PRN yang mungkin tahun ini ataupun awal tahun depan.

Parti Rakyat Sarawak (PSB) yang turut disertai Baru Bian sudah ada calon, sementara pada Isnin, Gabungan Anak Sarawak (Gasak) turut mengumumkan akan bertanding di semua 82 kerusi Dun.

Gasak yang masih menunggu kelulusan pendaftaran daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan wujud hasil gabungan Parti Aspirasi Rakyat (Aspirasi), Parti Pekerja Sarawak (SWP), Parti Bansa Dayak Sarawak Bersatu (PBDS), Sarawak for Sarawakians (S4S) dan Sarawak Independent Alliance (SIA).

Inilah inti pati ceritera politik Malaysia hari ini. Perebutan kuasa Perdana Menteri dan usaha mendapatkan mandat baharu rakyat. Kedua-duanya menggambarkan politik negara ini hangat menuju klimaks – pilihan raya.

Walaupun dengan pelbagai telahan, analisis serta ramalan, hanya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tahu bila tarikh pembubaran Dun untuk PRN. Kini rakyat dalam proses sabar menunggu.

Bermakna, pengundi juga harus bersedia, termasuk kemungkinan PRN akan disekalikan dengan PRU.