ROGOL merupakan jenayah seksual yang serius, selalunya melibatkan hubungan seksual yang dilakukan secara paksa dan tanpa kerelaan mangsa.

Di Malaysia, jika mangsa di bawah umur maka kesalahan rogol sama ada mangsa rela atau tidak, kerelaan itu tidak relevan. Kesalahan rogol tetap berlaku.

Menurut laman sesawang World Population Review, dianggarkan sekitar 35 peratus wanita di seluruh dunia mengalami beberapa bentuk gangguan seksual sepanjang hayat mereka.

Kebanyakan negara yang mempunyai data berkenaan rogol melaporkan bahawa kurang daripada 40 peratus wanita yang mengalami keganasan seksual telah mendapatkan pertolongan.

Namun kajian itu mengatakan kurang daripada 10 peratus yang dilaporkan meminta bantuan daripada penguat kuasa undang-undang.

Disebabkan banyak mangsa seksual jarang melaporkan jenayah terhadap mereka, angka pemerkosaan yang tepat sangat sukar untuk direkodkan.

Penulis juga mempunyai seorang kenalan yang mempunyai sejarah hitam ini. Namun tidak tampil melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Alasannya, melibatkan saudara terdekat dan kes sudah berlaku beberapa dekad yang lalu. Maka mangsa hanya mampu menyimpan dendam dan trauma sepanjang hidupnya.

Menurut WHO, majoriti besar kes rogol dilakukan oleh mereka yang dikenali mangsa, dengan kajian PBB di Eropah mendapati 67 peratus perogol adalah orang yang dikenali mangsa.

Tiada data untuk kes di Malaysia, tetapi WHO menganggarkan kira-kira 80 peratus mangsa yang mendapatkan bantuan mengatakan mereka diserang oleh orang yang dikenali.

Jika kita lihat di negara kita, banyak sahaja kes melibatkan sumbang mahram dilaporkan, ada juga bapa dan datuk ‘makan’ anak sendiri, tidak kurang saudara terdekat dan adik-beradik mereka.

Terdapat beberapa kes rogol lain yang dilaporkan di media saban hari dan ada antaranya melibatkan tahap yang tidak masuk akal.

Baru-baru ini di Kuching, seorang lelaki berusia 67 tahun yang menghidap kanser paru-paru tahap empat dijatuhkan hukuman penjara 70 tahun dan 20 sebatan selepas didapati bersalah merogol cucunya yang berusia 12 tahun.

Inilah iblis bertopengkan manusia, orang yang sepatutnya diharapkan melindungi keluarga tetapi sanggup melakukan perbuatan terkutuk dek kerana nafsu.

Walaupun kebanyakan kes rogol dan serangan seksual melibatkan wanita, lelaki di seluruh dunia juga mengalami gangguan, serangan seksual dan pencabulan setiap hari.

Lihat sahaja di negara kita, banyak laporan pelajar lelaki diliwat rakan sebilik, diliwat jiran sendiri dan ada juga laporan melibatkan warga emas dan anak kepada pengasuh.

Tidak dilupakan juga golongan transgender dan orang kelainan upaya yang mungkin dua kali ganda menjadi mangsa serangan seksual atau rogol.

Mengapakah kes rogol ini berlaku? Jangan pula kemukakan dalil seseorang dirogol kerana tidak berpakaian senonoh. Ada sahaja yang bertudung labuh tetapi tetap menjadi mangsa rakus perogol.

Tidak dinafikan kemajuan teknologi memberi kemudahan kepada kita untuk mendapatkan maklumat dengan mudah. Namun ada individu yang menyalahgunakan kemudahan ini mendapatkan gambar dan bahan lucah.

Dalam keghairahan menonton video lucah, akhirnya mereka tidak sedar bahawa mereka terjerumus ke arah melakukan jenayah seks iaitu rogol.

Selain itu, tidak mempunyai pegangan agama yang kuat juga menjadikan seseorang itu berkemungkinan besar gagal mengawal nafsu. Akibatnya ada mangsa jadi korban untuk memenuhi kepuasan penjenayah.

Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang tersedia untuk menghukum perogol, tidak dinafikan ia masih gagal dan kini menjadi kelaziman di negara ini.

Jadi bersama-sama kita memupuk kesedaran bahawa jenayah rogol satu wabak di negara ini. Setiap orang haruslah mengambil langkah untuk mengatasi punca rogol hingga ke akar umbi.

Kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan juga diseru supaya mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengatasi masalah ini dengan memperkenalkan program kesedaran umum.