KUCHING: Mesyuarat khas parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diadakan secara tertutup di ibu pejabat parti itu di sini pada Sabtu, menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai senario politik tanah air khususnya di Sarawak.

Tambahan pula mesyuarat itu diadakan selepas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan beberapa presiden parti politik di negeri itu menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pertemuan di Putrajaya, Rabu lepas.

Ketika angin Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 mulai bertiup, mesyuarat itu menimbulkan tanda tanya yang signifikan sama ada ia turut membincangkan tarikh keramat berkenaan, yang menjadi hala tuju baharu buat negeri itu.

Abang Johari yang juga Presiden PBB tiba di perkarangan bangunan pejabat parti sekitar pukul 10.45 pagi dan dipercayai mempengerusikan mesyuarat berkenaan pada pukul 11 pagi.

Turut kelihatan, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Ketua Menteri II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan ahli Majlis Tertinggi PBB, antaranya Menteri Kanan (Infrastruktur) Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beberapa anggota kabinet Sarawak turut dilihat memasuki bangunan berkenaan, antaranya Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur, Datuk Julaihi Narawi.

PRN Sarawak ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016 dan tempoh akhir untuk mengadakan pilihan raya berikutnya ialah pada Julai 2021.

Namun, berdasarkan rekod lepas, PRN Sarawak diadakan setahun lebih awal daripada tarikh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir.

Pada PRN-11, empat parti komponen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak – PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) telah memenangi 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum mengumumkan keluar dari komponen BN pada 12 Jun 2018 susulan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

— BERNAMA