JASIN: Program pertanian bandar yang disarankan kerajaan di bawah Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) memberi peluang kepada komuniti rukun tetangga Taman Pulai Indah di sini untuk meluaskan tanaman cili fertigasi dan sayur-sayuran hidroponik di taman berkenaan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pulai Indah, Norhisyam Zahari, 47, berkata geran bantuan RM50,000 di bawah PENJANA yang diterima daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan digunakan untuk menambah 200 polibeg dengan 400 batang pokok cili kulai lagi.

“Setakat ini penduduk KRT Taman Pulai Indah telah menanam 200 polibeg dengan 400 batang pokok cili kulai dan kira-kira 30 hingga 40 kilogram cili secara purata dapat dituai dalam tempoh enam bulan.

“Kita juga bercadang meluaskan tanaman sayur-sayuran secara hidroponik seperti daun saderi dan bayam Brazil yang mula diperkenalkan kepada komuniti KRT di sini pada awal tahun ini kerana kaedah ini lebih mudah, selamat dan tidak memerlukan modal yang banyak,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ke projek pertanian bandar KRT Taman Pulai Indah di sini.

Mengulas lanjut, Norhisyam berkata KRT Taman Pulai Indah telah mengusahakan tanaman cili fertigasi sejak 2014 dan sehingga kini 30 penduduk di taman tersebut terlibat dalam projek tanaman berkenaan.

Tanaman cili menjadi pilihan kerana permintaan yang tinggi serta harga yang baik dalam pasaran, katanya dan menjelaskan bahawa hasil jualan tersebut dikembalikan kepada penduduk KRT itu dalam pelbagai bentuk seperti penganjuran program dalam komuniti berkenaan.

Beliau berkata selain itu, hasil tanaman tersebut juga diagihkan kepada penduduk sekali gus mengurangkan beban perbelanjaan selain memberi pendedahan kepada penduduk tentang kepentingan bercucuk tanam.

Projek tanaman cili itu juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian Melaka dari segi bimbingan dan teknikal bagi memastikan tanaman tersebut terhindar daripada serangga perosak atau masalah lain, katanya.

Kiandee ketika berucap selepas meninjau projek pertanian bandar ‘Kebuniti’ di Program Perumahan Rakyat Tehel, Bemban di sini berkata kementeriannya menyasarkan peruntukan RM10 juta di bawah PENJANA yang akan memanfaatkan 800 komuniti dan 12,000 individu dalam program pertanian bandar.