KUCHING: Seorang petugas di agensi Bako Nasional Park maut setelah motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan jenis Axia dalam kemalangan jalan raya di persimpangan PCC Demak, Jalan Bako, di sini, hari ini.
 
Mangsa dikenali sebagai Mohd Izzat Nurulhaq Asjmakhan, 24, difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Petrajaya menuju ke Bako sebelum terlibat dalam kemalangan sekitar jam 12.15 tengah hari.
 
Insiden pertembungan terbabit menyebabkan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.
 
Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kejadian.
 
Menurutnya, kemalangan berpunca apabila sebuah kenderaan jenis Axia datang dari arah Bako telah membelok ke arah kanan menyebabkannya dirempuh oleh sebuah motosikal yang bergerak lurus dari arah Petrajaya.
 
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa telah bergerak lurus sebelum merempuh sebuah kenderaan Axia yang cuba membelok ke arah kanan apabila tiba di simpang PCC Demak.
 
“Mangsa (penunggang) yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai petugas perubatan daripada Hospital Umum Sarawak(HUS),” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa hancur hampir keseluruhan di bahagian hadapan manakala Axia remuk di bahagian pintu hadapan tempat duduk penumpang.
 
Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke HUS untuk tindakan siasatan lanjut manakala kedua-dua kenderaan terlibat kemalangan ditahan bagi tujuan pemeriksaan Puspakom.
 
“Gambar rajah di lokasi serta beberapa maklumat berkaitan kemalangan turut diambil sebagai keterangan lanjut berhubung kes,” katanya.
 
Dalam pada itu, katanya, pemandu bersama seorang lagi penumpang kenderaan Axia masing-masing berusia 34 dan 44, disahkan selamat serta mengalami kecederaan ringan susulan kejadian.
 
Ujarnya, kes kini masih lagi dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.