TIDAK siapa menyangka Sarikei hari ini sudah berubah wajah. Bermula sebagai sebuah pekan kecil, bandar nanas mengalami ledakan pembangunan hasil usaha bersepadu Kerajaan Sarawak.

Ia bukan sahaja kerana terbinanya Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC), tetapi juga pelbagai projek lain berimpak tinggi untuk manfaat kira-kira 60,000 penduduk Sarikei.

Sebanyak 77 projek bernilai RM772 juta diluluskan untuk Bahagian Sarikei di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11). Ia termasuk jalan raya, jambatan, elektrik dan bekalan air.

Pusat pentadbiran moden 12 tingkat itu bakal menempatkan Pejabat Residen Sarikei, jabatan kerajaan dan agensi Kerajaan Negeri di samping menyediakan pelbagai perkhidmatan utama yang amat diperlukan oleh penduduk tempatan.

Apabila siap nanti, IAC mempunyai pejabat yang lebih moden selari dengan hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Inisiatif meluluskan projek agromakanan di Sarikei dan Bintangor dilihat sebagai usaha untuk melonjak potensi Sarikei dalam sektor pertanian moden melalui kaedah ICT yang mempunyai pangkalan datanya sendiri.

Pembangunan Taman Agro Sungai Baji di atas tanah seluas 314 ekar dilaksanakan di kawasan yang terletak sejauh 5.2 kilometer dari bandar.

Menariknya, projek dilengkapi dengan sistem Internet Of Things (IoT) dan ICT yang dihubungkan secara terus dengan pasaran. Ia sudah pasti menyediakan peluang ekonomi baharu kepada penduduk tempatan.

Kerja-kerja penyediaan tapak dan infrastruktur asas bermula pada Januari 2019 dengan melibatkan kerja-kerja tapak untuk Pusat

Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) dan pembinaan jalan masuk ke kawasan projek dari Kampung Susur Jambu.

Melalui aktiviti agromakanan, Taman Agro Sungai Baji bakal menjadi tempat tarikan pelancongan terbaharu Sarawak.

Projek ini akan menjadi pelengkap kepada Agropolitan Bukit Sadok di Betong dan Hub Halal Tanjung Manis sebagai pengeksport makanan.

Perkembangan terkini ini sekali lagi membuktikan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai kekuatan tersendiri dan berani membuat perubahan demi kelangsungan perjuangan membela nasib rakyat.

Malah pembangunan dan kestabilan yang dinikmati hari ini adalah hasil perjuangan dan pemimpin parti itu sejak dahulu.

Realitinya, era pembangunan negeri sudah pun bermula sejak pemerintahan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (kini Yang di-Pertua Negeri Sarawak), sebelum diteruskan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan kini Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Perjuangan itu berjaya menstabilkan politik, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan membangunkan Sarawak seperti sekarang.

Dalam erti kata lain, Sarawak mampu berdiri atas kaki sendiri malah terbukti apabila berjaya melaksanakan pelbagai projek untuk rakyat.

Antaranya pembinaan jambatan dan jalan pesisir yang bernilai lebih RM11 bilion membina rangkaian jalan pesisir di Sarawak. Kerajaan Sarawak tidak punya pilihan meneruskan pelaksanaannya kerana kemudahan itu sangat diperlukan rakyat terutamanya di pedalaman dan luar bandar.

Kerajaan GPS juga berupaya membina pelbagai infrastruktur lain termasuk bekalan elektrik dan air bersih ke kawasan luar bandar kerana kestabilan politik di negeri ini.