KUCHING: Jangan pandang rendah akan keupayaan kanak-kanak tadika terhadap apa-apa sahaja arahan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula tadika bermula Rabu lalu.

Menteri Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pemantauan pada hari pertama mendapati kepatuhan mereka (kanak-kanak) tadika sangat tinggi.

“Sepanjang pemantauan, kami dapati anak-anak kecil ini patuh dan sangat mendengar arahan guru. Oleh itu, ibu bapa jangan khuatir akan situasi ini.

“Apa-apa pun, ibu bapa tidak dipaksa untuk menghan- tar anak-anak mereka ke tadika untuk tempoh ini. Itu pilihan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Kebakaran Kampung Semerah Padi di Bilik Gerakan JKKK Kampung Semerah Padi di sini, kelmarin.

Menurutnya, tempoh ini membolehkan guru tadika mengurus bilangan pelajar yang kecil terlebih dahulu, sebelum beralih kepada jumlah lebih ramai.

Fatimah menegaskan bahawa guru, operator tadika termasuk semua agensi yang terlibat mengambil langkah terbaik untuk memastikan keselamatan kanak-kanak terus dijaga.

“Kami akan pastikan kanak- kanak ini mengikut SOP sebelum, semasa dan selepas tadika

beroperasi agar mereka kekal dalam keadaan selamat dan terjamin dengan persekitaran yang baik,” katanya.

Ini kerana jelasnya, pendidikan di tadika penting untuk menyediakan kanak-kanak dengan pendidikan formal sebelum memasuki tahun satu.

“Kita bukan sahaja perlu bekerja keras pada hari pertama tetapi pada hari seterusnya. Malah guru juga menunjukkan komitmen tinggi dan rajin.

“Saya tabik atas usaha ini bagi memastikan mereka (guru) dan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat,” tambahnya.

Sebanyak 2,385 daripada 2,865 tadika di seluruh Sarawak telah beroperasi semula sejak Rabu lalu, manakala 19 tadika swasta dan 461 Tabika Kemas belum lagi dibuka.