KUCHING: Sebanyak 48 keping saman pelbagai kesalahan trafik serta dua individu memandu di bawah pengaruh alkohol berlebihan berjaya dicekup hasil Op Mabuk Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah( BSPT IPD) Kuching di Jalan Simpang Tiga, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa berkata, operasi tersebut dilakukan bagi membanteras pengguna jalan raya yang ingkar peraturan trafik serta menunggang atau memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurutnya, seramai 11 anggota termasuk pegawai dan dibantu dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berada di lokasi bagi menjalankan operasi bermula 9.30 malam sehingga jam 2 pagi.

“Hasil keputusan ujian alat EBA mendapati dua individu lelaki masing-masing berusia 19 dan 35 tahun positif alkohol iaitu kandungan alkohol melebihi 99mg/ 100mg dan 208mg/ 100mg.

“Kedua-dua suspek telah ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan lanjut,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, antara rekod saman yang dikeluarkan termasuk empat keping tiada lesen memandu, 16 keping gagal tunjuk lesen, 13 keping nombor plat fancy dan enam keping LKM tamat tempoh.

Dalam pada itu, Merbin turut mendedahkan sebanyak 55 buah kenderaan melibatkan 76 individu telah diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

Sementara itu, tegasnya, Op Mabuk akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol yang tinggi dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya daripada berlaku.

Ujarnya, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi terhadap pesalah mabuk dan akan mengenakan tindakan pertuduhan di mahkamah sekiranya berjaya ditangkap oleh pihak polis.

BERHENTI… Setiap kenderaan yang melalui kawasan Op Mabuk akan ditahan dan diperiksa bagi memastikan mereka mematuhi peraturan jalan raya serta tidak memandu di bawah pengaruh alkohol

 

UJIAN…Dua lelaki diberkas setelah didapati positif memandu di bawah pengaruh alkohol berlebihan