MUKAH: Hubungan baik GPS dengan kerajaan pemerintah terbukti apabila Bersatu dan Pas mengumumkan tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) sekali gus membantu menstabilkan keadaan politik negara.

Adun Tellian Yusibnosh Balo berkata, jika benar jaminan daripada kedua-dua parti berkenaan, ia akan membantu GPS meraih kemenangan besar.

“Lagipun kedudukan kedua-dua parti berkenaan di negeri ini masih baharu dan tidak dapat diukur kemampuannya,” katanya semalam.

Yusibnosh menambah, rakyat turut menyedari bahawa slogan hanya memberi harapan tinggi kepada pengundi merupakan janji-janji kosong PH.

“Tidak seperti GPS yang telah menunaikan janji melalui dasar dan projek rakyat yang sedang dilaksanakan sekarang.

“Keadaan politik Sarawak amat mantap terutamanya dalam membawa negeri mencapai status maju menjelang 2030 dengan persefahaman keempat-empat parti komponen – PBB, PRS, SUPP dan PDP.

“Ia menjadikan satu pilihan yang tepat kepada rakyat tidak mengira luar bandar mahupun bandar,” katanya.

Ujarnya lagi, kepemimpinan tertinggi GPS dapat dilihat dalam menangani pandemik Covid-19 dan pelbagai masalah yang melanda negeri ini.

“Rakyat dapat menilai sendiri peranan GPS dalam mentadbir negeri ini.

Jadi jangan salah pilih kerana pilihan salah akan mendatangkan masalah dalam jangka masa panjang,” katanya.