KUCHING: Persatuan Patriot Sarawak (SPA) menyambut baik pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai cadangan penubuhan Hub Petrokimia Sarawak di Bintulu.

Pengerusinya Datuk John Lau Pang Heng berkata, Sarawak kini sedang menuju ke aliran industri minyak dan gas dan jika benar-benar berlaku, ia bakal memberi impak besar kepada ekonomi negeri ini. “Namun, SPA menunggu pengumuman terperinci mengenai perincian-perinciannya terutamanya mengenai aliran petrokimia ini,” katanya kepada New Sarawak Tribune ketika dihubungi di sini kelmarin.

Lau juga menjelaskan, Kerajaan Sarawak dapat menubuhkan Lembaga Modal Insan Sarawak untuk melengkapkan rakyat negeri ini dengan kemahiran yang diperlukan bukan hanya dalam industri petrokimia.

“Ada juga keperluan melengkapi rakyat Sarawak dalam industri masing-masing seperti pembuatan kapal, pembinaan, penangkapan ikan, pertanian, perhutanan, e-pemasaran, komunikasi, dan keterampilan kepemimpinan,” katanya.

Pada 2 Julai, Abang Johari menjelaskan Tanjung Kidurong di Bintulu akan dikembangkan menjadi Hub Petrokimia Sarawak. Beliau berkata, projek yang akan dibina di tanah seluas 1,000 ekar, setelah siap diharapkan dapat membuka 74,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak.

“Unit Perancang Ekonomi Sarawak sedang melakukan kajian dengan Petronas mengenai rancangan induk berkenaan,” katanya.

Beliau menambah kajian tersebut akan merangkumi senario dan pilihan pelaburan petrokimia, utiliti, infrastruktur, perkhidmatan sokongan dan susun letak, keupayaan dan insentif dan pelaksanaan, sosioekonomi dan faktor kejayaan utama.

“Sementara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) akan mengembangkan dan mengurus projek yang dicadangkan tersebut,” katanya.