KUCHING: Lapan individu termasuk seorang wanita terpaku setelah diserbu sepasukan polis ketika sedang leka bermain judi di sebuah kawasan perumahan berhampiran Sungai Tapang, petang semalam.
 
Kesemua suspek sebelumnya dilihat duduk mengelilingi meja dipercayai sedang giat bermain judi mahjong dan judi daun terup tanpa menyedari kehadiran polis sekitar jam 4.30 petang di lokasi.
 
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, operasi serbuan melibatkan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Padawan.
 
Menurutnya, kesemua suspek merupakan warga tempatan masing-masing berusia dalam lingkungan 21 hingga 60 tahun.
 
“Hasil pemeriksaan di lokasi berjaya merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian termasuk 52 keping daun terup, dua biji dadu, 120 biji mahjong, 2 buah meja dan 10 kerusi plastik.
 
“Turut dirampas, wang tunai bernilai RM555,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Tambahnya, kesemua suspek ketika serbuan turut mengaku bermain judi di tempat kejadian.
 
Susulan itu, katanya, lapan individu terbabit telah ditahan dan dibawa ke IPD Padawan untuk tindakan siasatan lanjut.
 
Dedahnya, tiga daripada suspek disahkan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 3(1) Ordinan Penganiayaan Binatang 1963.
 
Ujarnya, kesemua suspek yang ditahan di bawah Seksyen 7(2) ARJT 1953 itu dikenakan reman hari ini.
 
– NAZIRY HARIZAN