KUCHING: Keputusan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang untuk tidak meletakkan calon bertanding dalam PRN12 disifatkan sebagai situasi menang-menang, kata Ketua Pergerakan Wanita PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah (gambar).

Beliau yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak berkata, keputusan itu petanda baik bagi GPS.

“Ini bermakna Bersatu dan Pas tidak melawan… saya rasa persefahaman yang sangat baik telah dicapai. “Kedudukan Pas di Sarawak tidak perlu, sebab kita ada GPS dan di peringkat nasional – Pas, Bersatu dan yang lain-lain telah membentuk Perikatan Nasional (PN) + GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sidang media Kunjungan Hormat oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional (JPNIN) Sarawak di Bangunan Baitulmakmur di sini, kelmarin.

Fatimah percaya persefahaman itu akan memberi memberi impak keadaan yang baik akan berlaku pada PRN-12 kelak. “Kalau Bersatu dan Pas bertanding, kita akan jadi lawan.

“Tetapi sekarang keputusan sudah dibuat dan mereka tidak bertanding. “Maknanya dengan muafakat sebegini semasa pilihan raya nanti, mereka pasti menyokong kita. “Ia berita yang sangat baik…kalau mereka tidak membuat keputusan sekarang, ia akan menjadi tanda tanya,” ujarnya.

Terdahulu Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, Presiden Bersatu dan Pas membuat keputusan tidak meletakkan calon bertanding dalam PRN-12 hasil pertemuan selama dua jam antara Perdana Menteri dengan 12 gabungan parti politik di ibu negara.