SIMANGGANG: GPS tetap tenang, utuh dan sepakat, tetapi tidak bagi pembangkang di Sarawak.

Demikian pandangan Adun Lingga Simoi Peri melihat kepada kestabilan politik dan ekonomi Sarawak sama ada sebelum, semasa dan pasca Covid-19.

Katanya, GPS tetap tenang dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat menerusi pembangunan di kawasan luar bandar dan sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi negeri.

“Ini berbeza dengan pembangkang di Sarawak yang sudah ketandusan idea. Mereka menggunakan banyak persepsi dengan mengundang kerugian kepada rakyat seperti memainkan isu pembinaan Jalan Utama Kedua di pesisir pantai Sarawak.

“GPS yang terdiri daripada PBB, SUPP, PRS dan PDP sentiasa utuh dan sepakat, tetapi PKR Sarawak kini menghadapi masalah keluar parti yang dahsyat disebabkan tiada lagi kepercayaan kepada pemimpin utama mereka.

“Sementara PSB pula bergelut mencari calon yang akan mewakili mereka di 82 kawasan Dun seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

Namun, sehingga kini tiada yang mahu tampil kerana mengetahui pemimpin GPS telah menjalankan tugas mereka dengan baik,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Bagaimanapun jelasnya, ini tidak bermakna GPS memandang rendah ke atas parti lawan yang turut mendapat sokongan daripada ketua mereka di Semenanjung dan PSB yang dikatakan mempunyai banyak wang.

Ketika diminta mengulas tentang sokongan Bersatu dan Pas terhadap GPS pada PRN-12, Simoi meyatakan GPS menyambut baik tindakan tersebut.

“Ini menunjukkan PN membalas jasa dan budi baik GPS yang selama ini menyokong PN sehingga terbentuknya Kerajaan Persekutuan (PN +GPS) selepas ‘Langkah Sheraton’ penghujung Februari lalu.

“Malah, kenyataan terbuka Pengerusi GPS sebagai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin juga dianggap telah ada satu kesepakatan.

“Apa pun yang berlaku, sokongan PN kepada GPS dalam PRN-12 akan datang perlu diterjemahkan bukan sahaja dalam politik, tetapi juga dalam bentuk pembangunan, ekonomi dan sosial,” ujarnya.

Beliau menambah PN tidak mustahil mampu memenangi PRU-15 jika ia diadakan serentak dengan PRN-12 memandangkan rakyat sudah boleh menerima Kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin selepas melihat kejayaan dalam menangani Covid-19 dengan penuh prihatin.

“12 ahli gabungan dalam PN juga menyatakan sokongan mereka ke atas Muhyyiddin sebagai calon Perdana Menteri jika menang pada PRU-15. Ia sekaligus menunjukkan keputusan konkrit di atas kerjasama ini.

“Sesungguhnya, Kerajaan PN berusaha memulihkan kembali ekonomi negara selepas terkesan ekoran pandemik Covid-19 dan impak buruk pemerintahan Kerajaan PH selama 22 bulan,” jelasnya.