KOTA SAMARAHAN: Saya akan kemukakan calon yang sentiasa turun padang bukan sahaja waktu pilihan raya tetapi ketika diperlukan rakyat bila-bila masa,” demikian tegas Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.

Menurutnya, calon yang hanya bekerja melalui media sosial dan media arus perdana sahaja juga tiada dalam senarai menjelang Pilihan raya Negeri Ke-12 (PRN-12) kelak.

“Malah, saya telah mengarahkan calon berpotensi untuk terus turun padang bukannya pada saat-saat akhir menjelang PRN-12,” katanya kepada Suara Sarawak selepas meninjau pembinaan bangunan SJK Chung Hua Bako di Taman Berlian di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Kui Hian yang juga Adun Batu Kawah itu menambah, SUPP kini bukan hanya bersuara untuk komuniti Cina malah bumiputera. “Cumanya, SUPP banyak berkhidmat kepada penduduk kawasan bandar yang kini terdiri daripada pelbagai kaum.

“Ini kerana, penduduk luar bandar banyak berhijarah ke kawasan bandar mengikut keperluan masing-masing,” jelasnya. Katanya lagi, sebagai contoh di Batu Kawa yang mempunyai 9,000 penduduk berdasarkan data bantuan makanan apabila hanya 3,000 daripadanya adalah pengundi kawasan berkenaan.

“Ini menunjukkan 60 peratus penduduk luar bandar Sarawak tinggal di kawasan bandar. “Maka, kita akan bersuara untuk penduduk bandar secara keseluruhannya,” ujarnya.