SANTUBONG: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Hamzah percaya dengan pengurangan harga bagi bayaran masuk ke beberapa lokasi pelancongan di negeri ini dapat menarik lebih ramai pengunjung tempatan hadir.

Jelasnya, pihaknya kini berusaha untuk mengurangkan kadar bayaran masuk di mana-mana lokasi pelancongan di negeri ini seperti Taman Budaya Sarawak.

“Pembukaan semula taman itu antara ia dapat membantu merangsang semula industri pelancongan.

“Penurunan harga ini tidak kekal. Ia cuma dibuat sehingga hujung tahun ini sebelum kita menilai semula dua kadar berbeza bagi pelancong luar negara,” katanya ketika ditemui media semasa merasmikan pembukaan Taman Budaya Sarawak di sini semalam.

Jelasnya, ia juga termasuk bayaran masuk ke dalam muzium dan tempat lain seperti dilakukan di negara Eropah.

Karim berharap dengan langkah tersebut lebih ramai rakyat tempatan khasnya dapat membawa ahli keluarga melancong di dalam negara.

Beliau yakin tempoh industri pelancongan Sarawak kembali pulih dan terbukti dengan kehadiran pengunjung bertambah misalnya di Taman Budaya Sarawak.

Berhubung aktiviti dan keramaian yang kebanyakan dibatalkan sebelum ini, kementeriannya bersama-sama Lembaga Pelancongan Sarawak sedang merancang untuk meneruskan beberapa program bagi menyemarakkan semula program sepanjang pascaCovid-19 kini.

Karim bersama-sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri turut merasmikan persembahan unggun api di Pantai Damai, menandakan pembukaan semula industri pelancongan negara selepas PKP dikuatkuasakan sebelum ini.