KUCHING: Bossku menyifatkan kemenangan besar Barisan Nasional di PRK Dun Chini sebagai kemenangan rakyat yang kembali bersuara selangkah demi selangkah.

Ia sekali gus menunjukkan keyakinan yang diberikan oleh rakyat terhadap Muafakat Nasional dengan sokongan daripada PN.

Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Razak dipetik berkata, semuanya bermula dengan semangat persefahaman dan kerjasama.

“Muafakat Nasional telah berkembang ke satu tahap kekeluargaan yang erat.

Terima kasih dan syabas semua.

“Kejayaan di Chini adalah kejayaan yang kita capai bersama.

Tanpa sumbangan tenaga, masa dan sokongan saudara-saudari, tidak mungkin berjalan lancar dan berjaya.

“Ditambah pula kali ini dengan sokongan Presiden dan Pemangku Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin-pemimpin kanannya dan seluruh akar umbi di Pekan,” katanya dalam terbitan yang dimuat naik di Facebook, semalam selepas Mohd Sharim Md Zain, 41, menang bergaya dengan majoriti 12,650.

Kata Ahli Parlimen Pekan itu lagi, kemenangan BN di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis dan kini di Chini sebenarnya membawa isi hati rakyat.

“Rakyat membuat pertimbangan dalam pelbagai perkara sebelum memangkah kertas undi.

“Prestasi lepas, isu semasa dan jaminan masa depan merupakan kuasa rakyat.

“Justeru, bagi BN pilihan raya bagaikan satu temu duga besar. Kita bawa rekod pencapaian, kita jelaskan perjuangan semasa, kita bentangkan masa depan yang akan diusahakan.

Ternyata rekod dan sumbangan BN jelas baik dari sudut pembangunan dan kebajikan.

“Tetapi PH? Kesemua ini dinilai dan diputuskan oleh rakyat pada hari pengundian,” ujarnya.

Najib menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengundi di Dun Chini.

“Walaupun kubu kuat, kita tidak leka. Tempat lawan, kita tidak gentar. Kita tetap bertanding dan berdepan dengan rakyat kerana kita berkhidmat dengan keikhlasan.

“Pengundi Chini, terima kasih. Legasi Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun sejak PRU-11 akan diteruskan oleh Sharim.

“Saya yakin beliau mampu berkhidmat dengan penuh tanggungjawab dan cemerlang,” tambahnya.

PRK Dun Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang dimonopoli Sharim sebagai calon BN yang mendapat 13,872 undi.

Sementara dua calon bebas, Datuk Tengku Zainul Hisyam, 64 dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 masing-masing memperoleh 1,222 dan 137 undi.