SINGAPURA baru-baru ini mengumumkan Pilihan Raya Umum negara itu akan berlangsung pada 20 Julai depan. Perdana Menterinya Lee Hsien Loong menerusi pengumuman secara langsung di televisyen, memaklumkan telah menasihati Presiden Halimah Yacob supaya membubarkan Parlimen, ketika negara itu sedang stabil daripada ancaman Covid-19.

“Kempen kali ini tidak akan berjalan seperti biasa,” katanya Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan kemudian berkata, penamaan calon ditetapkan pada 30 Jun manakala tarikh pengundian pada 10 Julai.

Singapura perlu mengadakan pilihan raya umum sebelum 2021, tetapi spekulasi bertiup kencang bahawa pilihan raya akan berlangsung awal setelah Jawatankuasa Kajian Sempadan Pilihan Raya mengadakan perbincangan pada 1 Ogos tahun lalu, dan menerbitkan laporan kajian perubahan sempadan pada 13 Mac lalu.

Foto AFP

Ini merupakan kali ke-14 negara yang pernah dinamakan Temasek berajakan Temagi itu mengadakan pilihan raya sejak ia keluar Malaysia pada 1965. Berdasarkan Perkara 65(4) Perlembagaan Singapura, penggal maksimum untuk Parlimen negara itu ialah lima tahun dari tarikh persidangan Parlimen yang pertama.

Bagaimanapun Perdana Menteri boleh menasihati Presiden untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa dalam tempoh lima tahun tersebut. Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh tiga bulan selepas pembubaran dan melibatkan para pemilih yang berusia 21 tahun ke atas.

Selepas Singapura, tumpuan kini tertumpu kepada Sarawak.

Apakah Sarawak akan turut mengadakan pilihan raya awal, ketika seluruh negara masih lagi diselimuti kebimbangan akan ancaman Covid-19? Jika Singapura boleh melakukannya, kenapa pula tidak negeri ini?

Seperti Singapura, tempoh matang untuk mengadakan pilihan raya di negeri ini adalah pada tahun hadapan. Dan sekarang adalah waktu yang paling sesuai untuk mengadakannya. Juga seperti Singapura, urusan kempen akan menjadi lebih terkawal dan tertib kerana tidak perlu melibatkan ramai penyokong di sesuatu tempat.

Malah ia juga akan melibatkan komuniti setempat sahaja kerana tidak perlu banyak penyokong atau pasukan kempen datang dari negara lain.

Atas perkiraan politik pula, sekarang adalah masa yang terbaik untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan pembubaran Dun, berikutan keadaan kucar-kacir yang berlaku dalam kem lawan. Ketika ini, Pakatan Harapan (PH) berhadapan situasi sukar apabila tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa PH berada dalam keadaan paling lemah ketika ini, terutamanya di Sarawak. Kegagalan mereka memimpin negara biarpun selama 22 bulan telah diberi peluang, pasti masih segar dalam ingatan rakyat.

Justeru tidak hairanlah apabila Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen dan dua sekutunya, Larry Sng (Pengerusi PKR Sarawak) dan Abang Halil Abang Naili (Pengerusi Amanah) kini demam. Bukan sahaja kekurangan modal kempen, mereka terpaksa memutar cerita bahawa Kerajaan Negeri yang ada sekarang korup dan kotor, sebagai mengalih tumpuan isu dalaman yang dihadapi parti itu sendiri.

Dalam kenyataan media pada 20 Jun lalu, mereka malah menjual cerita bahawa Kerajaan Sarawak berbelanja boros dan cuba mengaitkan isu 1MDB dengan pentadbiran negeri – kenyataan yang diulang tayang berpuluh kali dengan tujuan meracuni pemikiran rakyat negeri ini.

Tindakan mereka ini sebenarnya memakan diri, kerana di sebalik tuduhan boros, Kerajaan Sarawak sebenarnya mengumumkan banyak projek, termasuk Projek Rakyat dan meneruskan pelbagai projek pembangunan, termasuk yang dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah PH dahulu.

Ya, maksudnya perbelanjaan itu wajar kerana ia adalah untuk rakyat dan berkaitan pembangunan negeri. Ia sungguh berbeza dengan tindakan PH sebelum ini, yang bukan sahaja tidak membawa sebarang pembangunan, malah menjadikan alasan kantung negara kempis, untuk tidak melaksanakan projek-projek yang dirancang dan amat diperlukan.

Anehnya, ketika Kerajaan Persekutuan diambil alih Perikatan Nasional, bukan sahaja semua usaha pembangunan ini diteruskan, malah bantuan berbilion ringgit disalurkan kepada rakyat yang terjejas oleh Covid-19.

Berkaitan Parti Sarawak Bersatu (PSB), parti baharu itu perlu membuktikan kemampuan terlebih dahulu, sebelum dapat mencabar kepimpinan GPS.

Tidak mudah sebenarnya untuk parti-parti baharu turun besaing, apatah lagi dengan menampilkan muka-muka baharu tanpa rekod.

Diadakan lebih lewat mahupun sekarang, pilihan raya tetap akan berlangsung. Justeru usah ditangguh lagi, kerana rakyat sebenarnya sudah sedia untuk membuat pilihan. Tidak kira diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum atau bersendirian, rakyat mahukan kerajaan yang stabil.

Rakyat mahu kerajaan yang mampu memimpin mereka keluar dari masalah ekonomi pasca-Covid-19, dengan hala tuju, rancangan dan tindakan yang jelas, bukan sekadar janji.

Dan paling penting, rakyat pasti sudah belajar daripada kesilapan lalu apabila ketika PRU-14, sebilangan daripada mereka ingin mencuba kerajaan yang baharu, yang akhirnya menyebabkan negara kerugian 22 bulan tanpa pembangunan dan hanya dimomok dengan cerita politik.

Juga sekarang adalah masanya untuk Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menilai calon-calon yang akan membawa panji GPS.

Pilihlah yang betul-betul tegap dan mantap, muda, berkarisma dan mampu bekerja memimpin Sarawak pada masa depan. Juga menjayakan agenda ekonomi digital, yang pernah disindir oleh Cheng Jen sebagai mimpi di siang hari. Dan mimpi tersebut, ketika Covid-19, benarbenar menyerlahkan.