SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Datuk Sri Huang Tiong Sii memberi jaminan akan terus memberi tumpuan terhadap aspek pendidikan.

Beliau berkata, sejak bergelar wakil rakyat sehingga kini pendidikan sentiasa dititikberatkannya dengan memberi penekanan terhadap segenap aspek berkaitan.

Malah katanya, bidang pendidikan merupakan pelaburan terpenting yang mampu menyediakan kehidupan lebih baik selain melahirkan generasi berilmu. “Saya juga berasal daripada keluarga susah namun hasil kesedaran terhadap ilmu menjadikan saya seperti hari ini.

“Justeru, saya akan menyokong sepenuhnya program anjuran mana-mana sekolah khususnya di kawasan Repok,” katanya. Jelas Huang, sekiranya pihak sekolah memerlukan bantuan, beliau pasti memberi sokongan seratus peratus.

“Ini tanda sokongan saya agar sekolah dapat melaksanakan aktiviti yang bermanfaat untuk pelajar,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Guru Secara Maya Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei Tahun 2020, kelmarin.

Program sambutan Hari Guru itu mencipta sejarah apabila pertama kalinya diraikan secara atas talian. Beliau berkata, guru perlu sentiasa memperkasa ilmu pengetahuan khususnya dalam pendidikan formal kandungan termasuk kemahiran teknologi berasaskan digital.

Pelaksanaan PKPP katanya, membuktikan kepentingan teknologi maya itu apabila sebahagian guru tidak dapat melaksanakan pengajaran seperti biasa. “Tetapi saya cukup kagum apabila anda sekalian tidak pernah patah semangat dan masih mencuba sedaya upaya menyalurkan ilmu melalui pembelajaran digital.

“Malah ramai yang menggunakan aplikasi dalam talian seperti Google Classroom, cikgooTube, Google Meet dan Zoom untuk melaksanakan pembelajaran di rumah. Tahniah dan syabas saya ucapkan.

“Ini juga menunjukkan betapa pentingnya teknologi digital yang sedang diperjuangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya.