PROGRAM pusat cemerlang di bawah kelolaan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) berjaya melahirkan ramai pemain bola sepak elit meskipun masih baharu diperkenalkan di Sarawak.

Ketua Jurulatih Bola Sepak Sukma Ahmad Fairuz berkata, tiga tahun kebelakangan ini program pusat cemerlang berjaya melahirkan lima atlet elit yang menjadi tonggak utama dalam pasukan Sukma kelak.

“Keberhasilan pusat cemerlang melahirkan lima pemain elit iaitu tiga di pasukan Sukma dan dua di skuad Kuching FA. “Ramai orang tidak tahu bahawa keberhasilan melahirkan atlet sukma ini adalah bermula dari pusat pembangunan dan pusat cemerlang,” katanya semasa ditemui oleh Suara Sarawak di Stadium Sarawak baru-baru ini.

Beliau berkata, masyarakat luar harus tahu program pembangunan bola sepak di Sarawak memberi hala tuju menyeluruh kepada anak tempatan di negeri ini.

Beliau berkata, atlet di bawah jagaan beliau tidak akan diabaikan setelah tamat persekolahan malah akan menjalani latihan berterusan untuk mewakili Sarawak ke Sukma.

Katanya, dia tidak mahu kehilangan atlet yang berbakat dan ingin membawa mereka lebih jauh dalam arena bola sepak setelah tamat mewakili Sukma Sarawak kelak.

“Selepas Sukma nanti atlet kita ada kesinambungan ke arah mewakili pasukan negeri dalam Liga Malaysia. “Oleh sebab itu, saya tegaskan bahawa pemain elit ini mempunyai masa depan yang cerah dalam arena bola sepak tetapi ramai yang tidak memahami perjalanan karier mereka.

“Saya berharap program ini akan berterusan dan menerima lebih ramai bakat pemain muda dari seluruh bahagian datang mengikuti program pusat cemerlang,” ujarnya.

Lima pemain tersebut ialah Zharmien Asraf Ismail (Kedah), Joehansen Ambas (SUFC III), Muhamad Yusry Haziq Idris (SUFC III), Shafiq Aqiemie (Kuching FA) dan Azzam Marzuki (Kuching FA).