JAKARTA: Seorang pemilik kedai basikal di Jakarta Selatan, Indonesia, Danny Siwu kini mampu menarik nafas lega apabila kedainya kini mula sibuk menerima pelanggan.

Mengutip CNA, puluhan orang memenuhi kedainya dan semua pembantu jualannya sibuk melayan lebih daripada seorang pelanggan dalam satu masa.

Kebanyakan pusat beli-belah dan kedai ditutup pada awal April lalu apabila Jakarta melaksanakan langkah penguncian untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.

Kedai basikal milik Danny tidak terkecuali terkesan dengan penguncian itu yang menyebabkan dia terpaksa menjual produknya secara dalam talian.

Apabila arahan penguncian itu ditarik balik secara berperingkat pada 15 Jun, kedai mula dibuka semula dan kedai basikal pula menyaksikan lonjakan penjualan yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Menurut Danny, permintaan untuk basikal begitu tinggi sehingga basikal baharu di kedainya habis terjual sebelum sempat dipamerkan. Katanya, permintaan yang tinggi itu adalah perkara yang di luar jangkaannya. Ini kerana jualannya sebelum ini menurun sepanjang penguncian separuh dan hal itu membuat kakitangannya cemas.

Dia percaya perniagaan berjalan dengan baik kerana bandar raya mengenakan penjarakan fizikal untuk mencegah penyebaran Covid-19. Dengan berbasikal, orang dapat berulang-alik keluar dari kediaman tanpa perlu berada dekat dengan orang lain.

Menurut pelanggannya, sejak kehidupan di Jakarta kembali normal, keadaan lalu lintas kembali sesak dan mereka ingin mengelakkan kesesakan itu dengan menaiki basikal serta menjaga kesihatan diri.