TAIWAN: Seorang warga emas Taiwan yang pernah mendapat perhatian media di seluruh dunia gara-gara puluhan telefon yang diletakkan di basikalnya untuk mencari pokemon, kini muncul semula.

Chen Sanyuan yang berusia 70 tahun itu kini memiliki 64 buah telefon pintar di basikalnya untuk mencari Pokemon GO. Kisahnya muncul semula selepas fotonya dengan puluhan telefon pintarnya dirakam dan dimuat naik ke laman sosial baru-baru ini.

Sememangnya aksi Sanyuan dengan basikalnya sentiasa mendapat perhatian orang sekelilingnya kerana keunikan basikalnya. Daripada hanya sembilan telefon, Sanyuan kini memiliki 64 buah telefon pintar.

Selepas kisahnya tular, dia mendapat bantuan daripada pelbagai pihak dan ketika ini sebahagian besar telefon miliknya itu disumbangkan oleh Asus.

Ada yang mencadangkan supaya menggunakan basikal tiga roda untuk memastikan Sanyuan dalam keadaan seimbang dan tidak terjatuh daripada basikal yang digunakannya sekarang.

Namun sudah pastinya Sanyuan tetap meneruskan misinya itu untuk mencari Pokemon GO dengan penuh semangat.