SERIAN: Berdasarkan keputusan makmal Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JVS), sebanyak 69 sampel daripada 180 sampel anjing disahkan positif wabak rabies setakat 6 Julai lalu.

Pengarahnya Dr Adrian Susin Ambud berkata, bagi tahun ini sahaja, pihaknya telah menyuntik 9,292 anjing dengan vaksin antirabies dan sejak 2017 hingga kini, populasi anjing di Sarawak dianggarkan lebih 200,000 ekor yang akan meningkat setiap tahun.

Menurutnya, setakat 6 Julai lalu, pihaknya telah menyuntik lebih 168,000 anjing di seluruh negeri ini.

“Kami akan teruskan program antirabies melalui pemvaksinan di seluruh Sarawak. Kami juga menggesa orang awam memastikan anjing mereka disuntik dengan vaksin seperti termaktub di bawah Seksyen 40, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 iaitu wajib semua pemilik anjing memberi vaksin.

“Menjadi kesalahan di bawah seksyen ini sekiranya anjing tersebut didapati tidak disuntik dengan vaksin. Anjing tersebut boleh dilupuskan dan pemilik boleh dikompaun, kerana tidak mengikut peraturan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak pada Majlis Penyerahan Input Projek Ternakan Bagi Dun Tarat di sini, semalam.

Beliau turut menyeru semua pemilik anjing supaya terus menjaga dan mengawal anjing mereka di rumah.

“Jangan biarkan anjing berkeliaran. Sekiranya anjing itu ditangkap, pemilik boleh dikompaun.

“Baru-baru ini seorang pemilik anjing di Samarahan telah dikompaun RM1,000 untuk seekor anjing seperti termaktub di bawah Seksyen 37 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 kerana membiarkan anjing berkeliaran,” katanya lagi.

Sehubungan itu, pihaknya kini turut merancang meneruskan aktiviti pemvaksinan secara besar-besaran khasnya di kawasan Sibu pada 8 hingga 9 Julai ini di Sibujaya Community Hall (9.30 pagi hingga 3.30 petang)

“Manakala di Bahagian Mukah akan diteruskan ke kampung-kampung bermula 7 hingga 10 Julai, dan 14 hingga 17 Julai ini.

Bagi kawasan Kuching, kita telah berjaya bergerak dari Lundu sepenuhnya dan minggu ini diteruskan ke Bau pada 13 hingga 18 Julai, 20 hingga 21 Julai dan 23 hingga 24 Julai ini,” katanya lagi.

Manakala untuk kawasan Miri dan Limbang jelasnya, kawasan tersebut masih bebas daripada wabak rabies ini kerana tiada kes positif dilaporkan untuk tahun ini.