KUCHING: Kegilaan dan minatnya terhadap burger diadaptasikan ke dalam perniagaan kini membuahkan hasil yang membolehkan empunya badan tersenyum gembira.

Pengarah Urusan Canard Eat & Roll Nik Mohd Suhaili Bahari berkata, perniagaan burger itu diusahakan kerana ia antara makanan kegemarannya.

Bekas atlet sukan ekstrem kebangsaan yang pernah memenangi pingat gangsa dalam Asian X-Games Taiwan itu mengakui, hobinya melancong dan mencari makanan seperti burger, sandwich dan salad.

Lebih mesra dikenali sebagai Nik, beliau merupakan atlet Malaysia sejak usia 12 tahun untuk sukan roller blade dan pernah bergelar pramugara MAS pada 2009 hingga 2012.

“Saya memulakan perniagaan ini pada 2016 dan ia bertahan sehingga kini,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di gerai Canard Eat & Roll di Vivacity di sini.

Kata Nik, lokasi pertama perniagaannya di lot kedai berdekatan Kompleks Belia dan Sukan Kuching.

“Selepas tiga tahun beroperasi, kami berpindah ke Vivacity. Cawangan kedua kami akan dibuka di Damai Beach Resort dan memulakan operasi pada bulan hadapan atau September nanti,” jelasnya.

Nik mendedahkan, nama-nama burger yang tersenarai di dalam menunya berasaskan dengan roller blade dan papan selaju.

“Kini, kami juga mengeluarkan burger sayur-sayuran menggunakan kandungan bukan daripada daging haiwan. Ia sesuai untuk peminat sayur-sayuran.

“Saya boleh katakan, ia digelar Vegan Burger pertama yang dikeluarkan di Sarawak,” tegasnya.

Menjelas tentang bantuan daripada kerajaan, Nik memberitahu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Fama banyak membantunya memperbesarkan perniagaan.

“Mara banyak membantu saya dari segi pensijilan halal dan ia memudahkan kami mendapat keyakinan daripada pelanggan.

“Selain itu, Fama membantu mendapatkan mesin kerana saya mengeluarkan produk sejuk beku seperti bergedil, daging burger dan sebagainya,” jelas Nik lagi.

Bercakap mengenai cabaran ketika pandemik Covid-19, beliau mengakui terkesan susulan PKP dilaksanakan.

“Bagaimanapun, saya dan kumpulan Canard Eat & Roll berbincang dan kami merancakkan promosi dalam talian.

“Ia merupakan platform yang banyak digunakan masa kini,” ujarya.

Dalam hal berkaitan, Nik menasihati peniaga yang baharu memulakan perniagaan untuk menggunakan platform digital dan jangan pernah takut untuk menceburi bidang ini.

“Kerajaan juga banyak membantu usahawan dari segi peruntukan, pinjaman yang sifar faedah dan sebagainya.

“Jadi, ambil kesempatan ini untuk mendapatkan pinjaman, bantuan daripada kerajaan bagi memulakan perniagaan anda,” katanya.