KUCHING: Rakyat harus memainkan peranan dalam melapor perkembangan polisi kerajaan agar ia dinikmati ke peringkat akar umbi dengan pelaksanaan yang telus.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, polisi yang diusahakan oleh pihak kerajaan adalah demi kebaikan rakyat, tetapi pelaksanaannya dengan amalan “kantau” menjadikan ia tidak sampai kepada kumpulan sasar.

“Contohnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan makanan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

“Dalam situasi sedemikian, kita memberi bantuan yang betul dan cepat kepada kumpulan sasar, tetapi terdapat beberapa maklumat tidak sahih diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara secara maya mengenai impak integriti dan kerajaan baik pada pasca-Covid-19 di sini semalam.

Menurut Talib, terdapat segelintir pihak yang bertindak “nakal” apabila memberitahu agihan makanan tidak adil dan pihaknya membuat siasatan terhadap perkara itu.

“Setelah siasatan dilakukan kita mendapati, bantuan makanan berupa sebantal roti diberikan oleh individu yang ingin bersedekah kepada orang kampung dan bukannya daripada agensi kerajaan,” tegasnya.

Jelasnya, isu terbabit mendapat perhatian segelintir pihak yang ingin bermain politik dengan menangguk di air keruh.

Justeru, katanya, rakyat Sarawak secara keseluruhannya mempunyai integriti kerana penyaluran bantuan makanan di bawah BKSS berjalan dengan lancar dan mencapai matlamatnya.

Katanya lagi, amalan integriti dalam kalangan masyarakat berkait rapat dengan rasuah yang merupakan satu landasan teguh ke arah pembangunan.

“Sebagai contoh, semakin tinggi nilai integriti dalam masyarakat itu, semakin rendah amalan rasuah sekali gus ia muncul sebagai sebuah negara maju seperti Switzerland dan Norway.

“Malah, dalam tempoh 20 tahun lalu menyaksikan bank koperatif muflis akibat amalan rasuah yang berleluasa seperti Bank Bumiputera Malaysia (BMF),” ujarnya.

Tambah Talib, amalan BMF yang meminjamkan ratusan ribu wang kepada penjenayah sebelum mendapat kelulusan terlebih dahulu untuk membayar hutang peribadi amat nyata membuktikan ia salah.

“Melihat kepada kepentingan pembudayaan integriti, Kerajaan Sarawak mewajibkan setiap Adunnya berikrar untuk memerangi rasuah sejak pemerintahan arwah Tok Nan (Ketua Menteri Kelima, Pehin Sri Adenan Satem) dan disambung oleh Ketua Menteri Keenam, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Ini menunjukkan Kerajaan Sarawak serius dalam memerangi amalan rasuah di peringkat kementerian, jabatan dan kakitangannya,” katanya.