KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) menjual keseluruhan 25.2 peratus kepentingan ekuitinya dalam syarikat teknologi tersenarai di Singapura, CSE Global Ltd di pasaran terbuka sebanyak RM177.33 juta.

Kumpulan perkhidmatan tenaga itu berkata penjualan itu adalah tepat pada masanya berikutan objektif awalnya telah dipenuhi yang mana ia telah mencapai sasaran kewangan dan kehadiran di peringkat antarabangsa yang relevan.

“Objektif awal SDHB (untuk) mengambil alih CSE Global antara lain adalah untuk memanfaatkan kehadiran CSE di peringkat global dan asas pelanggannya dalam industri minyak dan gas di samping memperkukuhkan segmen teknologi maklumat CSE,” kata SDHB dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

CSE Global yang menyediakan projek automasi industri, telekomunikasi dan penyelesaian alam sekitar, beroperasi di 41 pejabat di 17 negara.

SDHB berkata hasil daripada penjualan itu akan digunakan untuk tujuan lain yang akan mewujudkan peningkatan nilai yang selanjutnya.

Penggunaan yang sebenar belum dapat dipastikan, namun, hasilnya dijangka dapat digunakan dalam tempoh 12 bulan daripada selesai penjualan itu, katanya.

SDHB membeli kepentingan dalam CSE Global pada April 2018 berjumlah RM170.57 juta.