Kini negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Sebelum ini rakyat Malaysia melaksanakan PKP sejak 18 Mac lalu dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Setiap perubahan akan meninggalkan kesan yang berbeza.

Sehubungan itu, PKP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan mengkehendaki entiti perniagaan seperti koperasi juga perlu berubah untuk berhadapan dengan perubahan persekitaran perniagaan. Dicadangkan kepada gerakan koperasi untuk melihat tiga perkara utama berikut bagi menilai strategi koperasi.

Sehubungan itu wakil Suara Sarawak, OTHMAN IBRAHIM sempat temu bual Pensyarah Kanan Instutut Koperasi Malaysia Zon Sarawak MOHAMAD SUANDI MORTADZA di Kuching baru-baru ini.

 

SUARA SARAWAK: Semasa PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu termasuk pelaksanaan PKPB sebagai usaha mengekang pandemik Covid-19 mengakibatkan hampir semua aktiviti perniagaan dan ekonomi termasuk yang diusahakan oleh badan koperasi terjejas teruk, namun kini aktiviti perniagaan berkenaan bangun semula dengan model perniagaan yang mungkin berubah daripada amalan kebiasaan apabila kerajaan melaksanakan PKPP. Mohon komen tuan.

MOHAMAD SUANDI MORTADZA: Model perniagaan semasa dan sebelum PKP wajib dikaji semula. Pendekatan lama dan tidak sejajar dengan situasi PKP tidak boleh dilakukan lagi.

Pendekatan baharu berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan wajar dijadikan panduan. Satu contoh yang mudah kepada koperasi yang mengusahakan penyediaan katering, sudah pasti tidak dapat menyediakan perkhidmatan kerana larangan untuk mengadakan majlis seperti rumah terbuka semasa musim perayaan.

Pendekatan baharu mesti diambil dengan menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah. Pada masa yang sama kerjasama individu atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan menghantar makanan juga amat diperlukan.

Selain itu, kolaborasi bersama individu atau syarikat yang menguruskan jual beli makanan secara dalam talian juga boleh dibuat.

Apakah kaedah yang terbaik bagi membolehkan urus niaga atau aktiviti ekonomi itu terus bergerak terutama yang membabitkan perniagaan bercorak perkhidmatan atau penyediaan makanan?

Kaedah pemasaran dan jualan juga diubah daripada cara manual kepada cara yang baharu iaitu kaedah atas talian. Untuk itu, sesebuah koperasi mesti memanfaatkan pemasaran atas talian untuk memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan sampai ke pengetahuan pelanggan.

Walaupun PKP ditamatkan, pelanggan berasa tidak selamat untuk berada di luar pada masa lebih lama. Misalnya, koperasi yang terlibat dengan perkhidmatan katering perlu menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram memandangkan pelanggan mempunyai banyak masa di rumah mahupun di pejabat.

Lantaran itu, mempromosi produk mereka menerusi media sosial ialah pilihan terbaik.

Apakah tindakan atau penyusunan yang perlu dilakukan oleh golongan usahawan terutama bagi mereka yang belum bersedia atau berjinak-jinak dengan kaedah baharu seperti berniaga melalui atas talian ?

Dalam hal ini, para usahawan termasuk anggota koperasi jangan bersikap tunggu dan lihat. Mudahkan kerja dan buat kolaborasi. Tindakan disusun dengan mengambil kira kemampuan dan tahap kesediaan.

Misalnya, koperasi yang menyediakan perkhidmatan katering tetapi mereka belum mahir menggunakan kaedah atas talian. Mereka dapaty belajar secara ‘online’ dengan golongan pakar atau mereka yang fasih menggunakan kaedah baharu ini. Mudah dan cepat. Terus menimba ilmu. Proses untuk meningkatkan kemahiran juga amat penting dipelajari untuk mempelbagaikan kemahiran baru yang boleh dipelajari.

Apakah peranan Institut Koperasi Malaysia (IKM) dalam membantu para usahawan atau pengusaha koperasi supaya mereka tidak terus ketinggalan dalam kaedah baharu dalam perniagaan ini?

IKM Sarawak termasuk di Kuching sering menganjurkan pelbagai latihan yang relevan yang dapat disertai oleh semua usahawa terutama pemimpin dan anggota koperasi. Begitu juga dengan latihan yang ditawarkan oleh Institut Keusahawanan Negara (Insken) yang dapat disertai oleh usahawan yang berminat.

Apa yang disediakan oleh IKM Sarawak untuk membantu para usahawan atau pengusaha koperasi ?

IKM Sarawak menyediakan beberapa pakar perniagaan dalam pelbagai bidang termasuk bidang media sosial untuk membimbing para peserta dalam bidang yang berkaitan. Sejak kebelakangan ini kursus usahawan atau latihan jangka pendek dalam bidang perniagaan atas talian sentiasa mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para usahawan terutama penggerak koperasi.

Bantuan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) daripada Kerajaan Persekutuan banyak membantu usahawan dan pengusaha koperasi?

Apa yang menarik juga setelah pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) baru-baru ini oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuka ruang kepada usahawan untuk memanfaatkan pakej bantuan mahupun pinjaman yang ditawarkan.

Sehubungan itu, tindakan perlu diambil oleh entiti perniagaan untuk mengambil peluang yang disediakan. Malah, pelepasan cukai yang diberikan serta morotarium daripada pihak institusi kewangan membantu untuk menyusun semula kewangan perniagaan agar langkah-langkah penjimatan dapat dilakukan.

Dalam pada itu, peniaga kecil dan sederhana terutama peniaga mikro juga berasa lega apabila Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut menyediakan pelbagai bantuan melalui pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang bagi meringankan beban peniaga terbabit.

Apakah tindakan yang harus dilakukan oleh para usahawan bagi menarik orang ramai terhadap produk atau perkhidmatan yang disediakan melalui atas talian?

Tindakan yang disusun perlu dijana sebaik-baiknya. Namun, tidak semua tindakan dapat dilaksanakan serentak. Sehubungan itu, keutamaan harus diberikan kepada yang lebih penting dahulu.

Mengambil contoh perusahaan katering misalnya, makanan yang sedap, pelanggan akan ingat. Jadi, jual ‘nilai sedap’ itu kepada pelanggan. Promosi sebaik mungkin. Tawaran harga kepada pelanggan pula haruslah setara dengan kos yang dikeluarkan. Apa yang utama ialah tawaran harga yang disediakan mampu dibayar oleh pelanggan. Yang paling amat penting ialah perniagaan itu dapat menampung kos dan memberi keuntungan.

Adakah para usahawan perlu menilai semula kesan perniagaan yang bercirikan kelaziman baharu ini?

Tindakan yang dilaksana mesti dinilai kesannya. Jika terdapat kesan yang negatif, maka tindakan tersebut harus ditukar secepat yang mungkin.

Jika lewat maka impaknya akan lebih besar kepada perniagaan. Entiti perniagaan seperti koperasi tidak boleh mengambil tindakan semberono lantaran strategi hari ini tidak semestinya sesuai dilaksanakan pada hari esok. Tiada siapa yang menduga akibat pandemik Covid-19 telah membawa kepada langkah PKP dalam negara kita dan seterusnya mengubah norma kebiasaan.

Apa langkah yang diharus dilakukan untuk usahawan dan pengusaha koperasi bagi menarik hati pelanggan dalam berhadapan dengan kebiasaan baharu ini?

Tidak semua yang dirancang akan berjaya. Jika ada kekangan, fokus kepada penyelesaian. Perkara baharu tidak semuanya mudah. Tidak semua orang ramai juga gemar apa-apa yang kita lalukan. Misalnya, jika koperasi yang menyediakan perkhidmatan katering berhadapan masalah kelewatan menghantar makanan kepada pelanggan sehingga menyebabkan mereka tidak berpuas hati.

Sehubungan itu, permohonan maaf wajib diberikan kepada pelanggan. Usah bertangguh. Setelah itu, tawarkan kupon atau diskaun untuk pembelian seterusnya oleh pelanggan.

Cara ini mungkin boleh membuatkan pelanggan berasa mereka dihargai. Betulkan dan perbaiki tindakan kita. Kualiti perkhidmatan seperti inilah yang digemari pelanggan. Mahu atau tidak gerakan koperasi perlu mengambil tindakan pantas bagi menggubal model perniagaan yang telah dilalui oleh mereka sebelum ini.

Apakah kesimpulan tuan tentang kesan PKP dan pandemik Covid-19 kepada Gerakan usahawan dan koperasi?

PKP berakhir atau belum berakhir bukanlah penyebab perniagaan koperasi tewas dan kalah. Cabaran yang datang pada masa kini adalah tonik kepada kejayaan koperasi pada masa akan datang.