KUCHING: Pemimpin dan ahli parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu mengambil langkah bijak, dalam menyelesaikan perbezaan tuntutan kerusi di kawasan masing-masing.

Ketua Penerangan PBB Datuk Idris Buang berkata, ia adalah untuk mengekalkan kedudukan parti itu agar terus relevan dan diterima masyarakat.

“Pemimpin dan ahli parti perlu mengubah budaya berpegang teguh menjaga “kerusi tradisi” untuk memperoleh kemenangan sebagai calon pilihan.

“Untuk itu, seseorang calon perlu dinilai secara realistik dari pelbagai faktor yang relevan dari setiap sudut,” katanya.

Beliau berkata demikian membalas kenyataan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing yang mencadangkan pertukaran kerusi bagi calon yang terpilih.

Menurut beliau, calon digalak untuk melakukan pertukaran kerusi jika ia diperlukan untuk memperoleh kemenangan bagi membentuk Kerajaan Negeri yang kuat di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Saya berpendapat bahawa pandangannya (King Sing) adalah wajar berdasarkan keperluan dan matlamat parti.

“Oleh itu, pemimpin perlu bijak memilih calon yang terbaik untuk menentukan kedudukan parti GPS pada masa akan datang,” jelas Adun Muara Tuang itu lagi.

Terdahulu King Sing menjelaskan bahawa gagasan berpegang pada “kerusi tradisional” dapat membawa padah dan masalah kepada GPS.

Menurutnya, tindakan parti yang berpegang pada prinsip lapuk dan tidak fleksibel hanya menyebabkan gabungan tersebut kehilangan kerusi pada pilihan raya akan datang.