MANILA: Pengkritik undang-undang antikeganasan baharu di Filipina meminta mahkamah tertinggi negara itu untuk menggantung undang-undang tersebut dengan alasan ia mengancam hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

Undang-undang yang diluluskan oleh Presiden Rodrigo Duterte pada Jumaat itu, memberi kuasa kepada pasukan keselamatan untuk memburu pengganas.

Namun pengkritik bimbang ia digunakan untuk menyekat kritikan dan menyasarkan penentang kerajaan. Kumpulan hak asasi meminta Duterte untuk memveto undang-undang tersebut, yang membenarkan majlis khas terdiri daripada anggota kabinet untuk mengarahkan penangkapan tanpa waran tangkap ke atas sesiapa sahaja yang dianggap pengganas.

Ia juga membolehkan suspek ditahan selama 24 jam tanpa pertuduhan dan menghapuskan denda berat terhadap pihak penguatkuasa yang melakukan kesalahan dalam penahanan.

Kerajaan mempertahankan undang-undang yang diluluskan oleh Kongres bulan lalu itu, mengatakan ia diperlukan untuk memerangi keganasan di selatan negara ketika kumpulan komunis dan pemisah Islam melakukan pemberontakan berdekad lamanya.

Sekurang-kurangnya empat petisyen yang difailkan secara berasingan ke Mahkamah Agung semalam. Profesor dan anggota Kongres meminta undang-undang tersebut dihentikan sebelum ia berkuat kuasa pada akhir bulan ini untuk membolehkan penilaian semula kehakiman dan pindaan terhadap peruntukan yang dikatakan tidak berperlembagaan.

“Dalam masyarakat demokratik, keamanan tidak dapat dicapai atau dipertahankan dengan mengorbankan hak asasi manusia dan kebebasan sivil,” kata anggota Parlimen pembangkang, Edcel Lagman dalam petisyennya.

Mahkamah Agung mengesahkan petisyen tersebut difailkan. Kumpulan lain mengatakan rancangan untuk mencabar undang-undang tersebut. Sementara jurucakap Duterte, Harry Roque berkata kerajaan menghormati sebarang keputusan mahkamah. – AFP