MIRI: Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya minggu lepas.

Tertuduh, 49, mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa sengaja mencederakan isterinya hingga menyebabkan kesan lebam pada bahagian mata kiri.

Menurut fakta kes, tertuduh dipercayai melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Kejapil, Bekenu di sini di sini pada jam 8.30 pagi, 30 Jun lepas.

Kes didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh memohon hukuman ringan kerana itu merupakan kesalahan pertamanya termasuk masih menjaga seorang anak kecil.