BINTULU: Kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang memberi pengalaman berguna buat Ketua Petronas Carigali Sdn Bhd-Sarawak Gas (SK Gas), Peter Majid Tandom.

Anak kedua bongsu daripada 10 adik-beradik ini mengakui kehidupan ketika alam awal persekolahan cukup getir buat kerana bapanya hanya bekerja sebagai konstabel polis dan terpaksa menanggung keluarga yang ramai.

Tidak hairan, Peter ketika alam persekolahan terpaksa menjual sayur dari rumah ke rumah pada hujung minggu. Lebih memeritkan, dia pernah bekerja sebagai buruh di tapak binaan dan kilang pembuatan selipar di Kuching semasa cuti sekolah untuk mendapat sejumlah wang saku.

“Bapa saya satu-satunya mencari nafkah keluarga pada masa itu. Dia ada 10 orang anak untuk diberi makan. Saya anak kedua paling muda,” kata Peter yang kini berusia 56 tahun dan sekarang berkerja sebagai Ketua Petronas Carigali Sdn Bhd-Sarawak Gas (SK Gas) ibu pejabat di Bintulu.

Kekurangan pada diri Peter, tidak menghalangnya untuk menjadi pelajar cemerlang di Sekolah Rendah St Joseph dan Sekolah Menengah St Joseph Kuching pada tahun 1970 dan awal 1980. Dia selalu memperoleh keputusan yang cemerlang dan mendapat penghormatan daripada guru dan rakan sekolah.

Di sekolah, Peter bergantung pada bantuan kerajaan untuk buku teks dan berada di perpustakaan atau bilik darjah kerana keluarganya tidak mampu untuk menghantar ke kelas tuisyen.

“Belajar sangat sukar kerana saya tidak mampu membeli buku. Saya bergantung kepada buku teks percuma dari kerajaan. Saya harus belajar diri sendiri kerana saya tidak mampu membayar yuran tuisyen.

Ibu bapa saya tidak pandai membaca, menulis atau bercakap bahasa Inggeris sehingga mereka tidak dapat menolong saya memohon pinjaman buku dan bantuan kewangan,” katanya ketika mengimbas kembali kisah kehidupannya.

Mengharungi rintangan yang mencabar, tidak menghalang Peter berjaya dalam pelajaran. Beban kewangannya akhirnya dipermudahkan apabila menerima biasiswa dari syarikat minyak dan gas negara, Petronas. Menerusi biasiswa dia mendapat elaun dan membayar buku teks, pakaian seragam sekolah dan barangan penting yang lain.

“Keputusan ujian saya baik meskipun cabaran yang dihadapi oleh keluarga saya. Kerana kejayaan saya dan keadaan keluarga, saya diberi biasiswa Petronas apabila berada di tingkatan dua.

Peter Majid Tandom

“Saya berasa berterima kasih dan bangga menjadi satu-satunya pelajar di sekolah mendapat bantuan Petronas pada masa itu. “Apabila saya berada di tingkatan lima, rombongan dari Petronas datang dan memberi ceramah kerjaya di sekolah mengenai industri.

“Selepas itu, saya mula mengimpikan untuk menjadi geologi di Petronas,” katanya. Peter lulus cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menerima tiga tawaran biasiswa untuk menyambung pelajaran di luar negara.

“Saya memilih biasiswa daripada Petronas kerana bagi saya, ia adalah biasiswa yang terbaik untuk melanjut pengajian geologi peringkat sarjana,” jelasnya. Berbekalkan peluang itu, Peter melangkah ke sebuah kolej swasta di Kanada untuk program prauniversiti. Peter kemudiannya menyambung ke Universiti Laurentian, di Ontario, Kanada, untuk belajar Geologi. Peter menamatkan pengajian pada tahun 1988, ketika dunia sedang mengalami kemelesetan ekonomi.

Pasaran pekerjaan di Malaysia terjejas teruk ketika itu. Oleh itu Peter bersyukur bekerja sebagai pekerja pelatih oleh Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), Baram Delta Operations di Miri. “Latihan saya sepatutnya selama setahun, tetapi setelah tiga bulan saya dimasukkan ke PCSB sebagai jurutera pelatih di Jabatan Kejuruteraan Petroleum,” katanya.

Dia segera ditugaskan ke Sarawak Shell Berhad (SSB) sebagai Jurutera Petroleum tapak galian selama dua tahun, bekerja di rig penggerudian di luar Sarawak. Pada 1989, dia ditugaskan semula ke Operasi Baram Delta (BDO) sebagai ahli pembangunan geologi.