INDONESIA: Di sebuah kawasan terpinggir Papua iaitu di wilayah Pergunungan Bintang, membeli barangan keperluan boleh menyebabkan wang saku mereka habis serta-merta.

Harga sekarung beras yang seberat 10 kilogram, penduduk yang tinggal di sebuah kawasan perlombongan emas di kawasan Korowai terpaksa membayar sekurangkurangnya Rp 2 juta (ASS138.5), yang menyamai harga telefon pintar murah.

Sebagai perbandingan harga sekilogram beras di Jakarta ialah sekitar Rp 10,000 ke Rp 11,000, sahaja bermakna harga 10 kilogram beras di ibu negara ialah Rp 110,000.

Harga mahal sebegini bukan sahaja melibatkan beras, malah sekotak mi segera berharga Rp1 juta di Korowai.

Keadaan ini menyebabkan penduduk di situ membayar barangan keperluan mereka dengan emas.

Satu paket mi berharga Rp25,000, bagi yang mahu membeli sekotak mi mereka membayarnya dengan dua gram emas.

Satu tin ikan sardin biasanya Rp150,000, manakala telefon bimbit menyamai harga 10 ke 25 gram emas.

Berbanding kawasan lain di wilayah itu Korowai merupakan kawasan yang agak terpinggir dan kurang maju biarpun ia dikelilingi lima wilayah besar iaitu Pergunungan Bintang, Yahukimo, Asmat, Boven Digoel dan Mappi.

Kawasan Korowai juga sukar untuk kunjungi, mereka perlu menggunakan khidmat helikopter dari Bovel Digoel kemudian menaiki bot panjang menyusuri Sungai Boven Digoel selama sehari.

Mereka kemudian terpaksa berjalan kaki dua hari untuk sampai ke kawasan perlombongan Korowai.

Ben Yarik, penduduk Korowai memberitahu kawasan itu dihuni orang asli dari puak Korowai.

Punca pendapatan mereka ialah melombong emas di kawasan itu.