KUCHING: Sebanyak 5,987 kes gigitan anjing dan empat kes rabies dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Padawan (MPP) pada 2019.

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata, bermula minggu Epid 1 hingga minggu ke-27 (29 Disember 2019 hingga 4 Julai 2020) sebanyak 1,367 kes gigitan telah dilaporkan dan tiada sebarang kes rabies.

Menurutnya, pihaknya turut menerima kes aduan anjing liar yang agak tinggi di kawasan MPP. “MPP menerima sebanyak 479 aduan anjing liar dan sebanyak 963 ekor anjing liar telah ditangkap tahun lalu.

“Dalam tempoh enam bulan tahun ini (Januari hingga Jun), sebanyak 189 aduan diterima dan sebanyak 394 anjing telah ditangkap,” katanya.

LO KHERE CHIANG

Khere Chiang berkata, bagi mencegah penularan wabak rabies, MPP telah melaksanakan operasi bersepadu menangkap anjing liar pada 7 hingga 8 Julai melibatkan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri dan polis.

Jelasnya, operasi semalam (7 Julai) dilaksanakan di Kuching City Mall, Desa Wira, MJC Batu Kawa, Batu Kawa Old Bazaar bermula jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Manakala operasi pada sebelah petang bermula pada jam 2.30 petang hingga 4.30 petang di Moyan Square, Taman Moyan dan Taman Genesis.

“Pada 8 Julai (hari ini) pula, operasi dijalankan bermula jam 7.30 pagi 10.30 pagi di Flat Taman Seri Makmur, Taman Kopodims, Taman Matang Jaya, Lee Ling Commercial Centre dan Taman Lee Ling bermula jam 2.30 petang dan 4.30 petang,” katanya kepada media selepas merasmikan Operasi Bersepadu di pekarangan pejabat MPP di sini, kelmarin.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak melepaskan anjing peliharaan mereka di luar kawasan rumah kerana ia boleh mengancam keselamatan orang yang lalu-lalang.

Dalam masa yang sama, Khere Chiang juga memohon kerjasama pemilik anjing untuk memvaksin dan memandulkan anjing peliharaan mereka. “Kita harus bertanggungjawab dan harus memahami memandulkan anjing adalah untuk mengurangkan jumlah populasi anjing.

“Ini kerana anjing boleh beranak dua hingga tiga kali dalam setahun. “Oleh itu kita harus vaksin dan memandulkan anjing ini. Dengan itu, kita akan dapat membasmi rabies,” katanya. Setiausaha MPP Elizabeth Loh dan Ketua Bahagian Pembangunan Komuniti dan Korporat MPP Ng Siang Wei antara yang hadir