KUCHING: Perkembangan dua projek di Jalan Ngemah ke Temalat dan Jalan Nanga Ngungun ke Nanga Ngemah di Kanowit dipantau rapi pengurusan tertinggi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Timbalan Pengarah Pengurusan Aset, Ir Richard Tajan berkata, ia merupakan tanggungjawab JKR untuk memastikan projek tersebut berjalan lancar untuk keselesaan rakyat.

“Projek Jalan Ngemah ke Temalat kini dalam fasa akhir penyiapan iaitu 78.21 peratus telah siap.

“Manakala projek Jalan Nanga Ngungun ke Nanga Ngemah By-Pass yang dimulakan sejak 4 Mac siap 0.85 peratus setakat 25 Jun lalu.

“Kedua-dua projek ini akan terus dipantau untuk memastikan kelancaran serta memenuhi aspek kualiti dan keselamatan pengguna jalan raya kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan di kedua-dua tapak projek tersebut kelmarin.

Menurutnya, projek Jalan Ngemah ke Temalat sepanjang 9.6 km itu merupakan laluan penghubung jaringan Jalan Kanowit ke Song dan seterusnya ke Kapit.

Sementara itu, Jalan Ng. Ngungun ke Ng. Ngemah By-Pass pula merupakan laluan alternatif sepanjang 5.3 km yang lebih selamat serta selesa tanpa melalui Skim Penempatan Semula Ng. Ngungun.

Richard juga menjelaskan bahawa projek tersebut turut melibatkan pembinaan sebuah jambatan konkrit sepanjang 106 meter merentasi Sg. Ngemah.

Hadir sama ialah Ketua Projek (HOP) JKR Sarawak Cassidy Morris, Jurutera Bahagian JKR Sibu John Wong Toh Koo, pihak Konsultant dan Kontraktor.