BAU: Taktik seorang lelaki yang menyembunyikan dadah di dalam kereta gagal apabila dapat dikesan oleh polis semasa diperiksa dalam Op Tapis di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Supt Poge Nyaon berkata, suspek ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Bau di hadapan Pejabat Penerangan Daerah Bau, lebih kurang jam 11.20 malam kerana dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan badan tidak menjumpai apa-apa barang yang salah. “Kemudian pemeriksaan dalam kereta yang digunakan suspek menjumpai satu paket plastik kecil berisi dadah syabu dianggarkan seberat 0.28 gram dengan nilai RM50,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, saringan awal juga mendapati suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau positif dadah jenis syabu.

Justeru, katanya lelaki berusia 35 tahun dari Kampung Rukam itu ditahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. Poge menambah, suspek dipohon reman semalam dan

sabit kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun si bawah Seksyen 38B ADB 1952.