ASAJAYA: Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis setelah disyaki melakukan hubungan sumbang mahram sehingga menyebabkan anaknya berusia 23 tahun mengandung di sebuah rumah Kampung Sadong Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Sudirman Kram berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan terhadap laporan berhubung kes yang diterima pihaknya di balai polis Asajaya pada Rabu sekitar jam 6 petang.

Dedahnya, suspek, 52 tahun, merupakan seorang duda kematian isteri dan bapa kandung kepada tiga orang anak termasuk mangsa.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek sudah dua kali berhubungan seks dengan anaknya ketika mereka menetap bersama di sebuah rumah sewa di Batu Kawa pada tahun 2016.

“Kejadian pertama berlaku apabila suspek mengajak mangsa mengadakan hubungan seks ketika mangsa dalam keadaan berkemban untuk ke bilik air.

“Selang dua minggu kemudian, kedua-duanya sekali lagi melakukan perbuatan itu di rumah sama sehingga ia terus berlarutan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek turut mengaku melakukan perbuatan terbabit sebanyak dua kali setelah berhenti kerja lalu berpindah ke rumah nenek mangsa di Sadong Jaya pada bulan Februari 2020.

“Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa mengaku tidak datang haid pada bulan Mac 2020 dan tidak pernah membuat pemeriksaan di mana-mana klinik kesihatan sebelum disahkan mengandung.

“Walaubagaimanapun, mangsa tidak mengetahui berapa usia kandungan,” katanya lanjut.

Susulan itu, katanya, suspek telah ditahan reman pada 10 Julai 2020 dan disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Dedahnya, semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Sementara itu, tambahnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan siasatan lanjut.

Tegas beliau, jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan sebatan.