SEMATAN: Walaupun baharu tiga bulan, Kerajaan Persekutuan disifatkan begitu prihatin dengan kepentingan rakyat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyalurkan peruntukan RM7.5 juta kepada Sarawak untuk membantu kerja pengukuran tanah di negeri ini.

“Walaupun kita tidak minta, mereka beri. Ini membuktikan mereka sebuah kerajaan prihatin akan kepentingan rakyat. “Tetapi ketika di bawah Kerajaan PH, kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak. Dalam pembentangan bajet memang tiada ruang diberi untuk kerja pengukuran ini,” ujarnya pada majlis penyerahan surat hak milik tanah Sekysen 18 Kanun Tanah Negeri Kampung Pueh, Sematan di Dewan Sentosa, Kem Putra Sentosa, Sematan kelmarin.

Turut hadir Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah & Alam Sekitar, Datuk Len Taliff Salleh dan Adun Tanjung Datu, Datuk Amar Jamilah Anu. Pada majlis itu, seramai 174 penduduk Kampung Pueh menerima surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Beliau memberitahu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu program pengukuran tanah adat NCR diteruskan ke seluruh negeri. Katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi pengukuran NCR pada tahun ini.

Ketua Menteri juga mempunyai perancangan yang menyeluruh untuk membangunkan aspirasi menjadi Bumi Kenyalang sebagai negeri maju pada tahun 2030 dengan kesejahteraan dan pendapat rakyatnya meningkat.