EKORAN wabak Covid-19 sektor perusahaan terjejas teruk menyebabkan ada yang terpaksa gulung tikar.

Malah ramai yang kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji. Oleh itu, di bawah Pakej Prihatin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Program Subsidi Upah (PSU) untuk membantu majikan dan pekerja.

PSU ialah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Di bawah Pakej Prihatin, subsidi upah ini dilakukan dalam tempoh enam bulan.

Ia bertujuan untuk membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi agar dapat meneruskan operasi syarikat sekali gus menyelamatkan pekerja.

PSU berkuat kuasa pada 1 April meliputi pekerja yang telah diarahkan mengambil cuti tanpa gaji dengan syarat bekerja di sektor pelancongan atau sektor-sektor yang tersenarai dalam aktiviti ekonomi yang masih dilarang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga dilanjutkan ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Hanya majikan yang akan memohon PSU bagi pihak pekerja kerana majikan yang akan memberi bayaran subsidi itu kepada pekerja.

Jadi, majikan dan pekerja harus tahu dan sedar bahawa PSU ini bukanlah untuk semua pekerja swasta tetapi untuk golongan tertentu yang layak.

Isu yang timbul adalah apabila wujud majikan yang menyalahgunakan PSU untuk kepentingan sendiri.

Sebagai contoh, majikan memohon PSU untuk membayar upah kepada semua pekerjanya yang disuruh mengambil cuti tanpa gaji.

Tetapi PSU yang dipohon oleh majikan tidak disalurkan secara langsung kepada pekerja dan digunakan untuk kepentingan syarikat.

Pekara ini adalah salah, kerana tujuan kerajaan mewujudkan PSU adalah untuk mengelakkan para pekerja diberhentikan dan hilang punca pendapatan semasa PKP.

Pekerja harus tahu dan arif tentang terma-terma dan syarat yang tertakluk dalam PSU.

Antara syaratnya ialah pekerja tempatan, mempunyai upah bawah RM4,000 dan diarahkan bercuti tanpa gaji oleh majikan.

Menyebut tentang cuti tanpa gaji, dalam bidang sumber manusia istilah itu disebut CTG yang bermaksud pekerja itu tidak bekerja dan tidak dibayar gaji.

CTG lazimnya digunakan kepada pekerja harian atau pekerja yang belum disahkan jawatan iaitu sekitar enam bulan ke bawah.

Malah CTG juga selalunya diberikan kepada pekerja yang memohon cuti yang tidak dapat dielakkan seperti kematian, sakit dan kecemasan.

Dalam konteks Covid-19, CTG adalah pekara yang tidak dapat dielakkan apabila syarikat memberhentikan operasi syarikat sehingga memaksa pekerja mengambil cuti tanpa gaji walaupun pekerja tersebut mempunyai cuti tahunan.

Apabila CTG diarahkan kepada pekerja, seharusnya majikan mengeluarkan surat atau borang yang menyatakan pekerja itu disuruh mengambil cuti tanpa gaji.

Sekiranya tidak ada, pekerja berhak meminta surat atau mengisi borang.

Ini untuk dijadikan bukti atau rujukan kepada pekerja dan majikan apabila penyaluran PSU mempunyai isu berbangkit atau masalah.

Malah secara automatik, majikan harus tahu dan sedar yang mana pekerja layak atau tidak layak PSU.

Pekerja juga harus tahu jumlah PSU yang diberikan oleh kerajaan iaitu bermula RM600 ke RM1,200 sebulan bergantung kepada bilangan pekerja dalam perusahaan itu.

Majikan tidak mempunyai hak untuk memotong setengah atau beberapa peratus daripada PSU untuk kepentingan sendiri.

Setiap pekerja yang layak menerima PSU mestilah seorang yang pernah mencarum dengan Perkeso atau sistem insuran pekerja (SIP).

Ingat apabila pekerja termasuk dalam PSU, majikan tidak boleh memecat atau harus mengekalkan pekerja tersebut di dalam syarikat sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan iaitu tiga bulan dalam tempoh PSU dan tiga bulan selepas itu.

Kerajaan tidak menggalakkan majikan memotong gaji pekerja dalam tempoh yang sukar ini, namun sekiranya majikan telah melakukannya PSU adalah langkah yang paling sesuai menyelesaikan kemelut itu.

Tidak hanya menyalahkan majikan, pekerja juga harus faham tentang program ini. Sebagai pekerja kita harus faham terma-terma dan syarat permohonan PSU meskipun majikan yang akan memohon program berkenaan.

Kenali juga kapasiti syarikat supaya kita tahu tentang jumlah PSU yang akan diperolehi.

Malah, pekerja perlu aktif untuk bertanya kepada pegawai Perkeso berkenaan perubahan polisi dan program-program bantuan daripada kerajaan.

PSU amat membantu rakyat memperoleh sumber pendapatan daripada syarikat swasta.

Malah dengan bantuan PSU, pekerja masih boleh bertahan walaupun subsidi yang diterima jauh lebih rendah, berbanding upah sebenar.