PUSA: Jentera parti PBB Cawangan Beting Maro bersedia menghadapi sebarang kemungkinan Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) dengan misi mengekalkan kemenangan dan meningkatkan majoriti.

Adunnya Razaili Gapor memberitahu, 2020 menyaksikan pelbagai perkara berlaku khususnya melibatkan senario politik negara termasuk pandemik Covid-19.

“Secara tidak langsung memberi kesan dalam perubahan politik semasa dan apa yang kita bakal dihadapi ialah PRN-12.

“Bagi saya, ia satu cabaran besar kerana mungkin berlangsung dalam kelaziman baharu.

“Bagaimanapun, pasukan kita di Beting Maro sentiasa siap siaga bagi menggapai misi mengekalkan kemenangan dan meningkatkan majoriti,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelasnya, walaupun kedudukan GPS dilihat kuat, namun tidak boleh leka, sebaliknya bertanggungjawab untuk memperkuatkan sokongan dengan memperkemaskan langkah. Ekoran Covid-19, Ketua Cawangan PBB Beting Maro yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBB itu menjelaskan, jentera parti harus mengadaptasi kelaziman baharu mengundi termasuk menerangkan kepada rakyat setiap perubahan.

“Biar apapun senarionya kelak, kita akan memastikan pasukan GPS beroleh kejayaan.

Kita enggan hanya bercakap kosong, insya-Allah kita akan buktikan di Dun Beting Maro,” ujarnya.

Razaili pada masa yang sama menyifatkan kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg beberapa tahun ini benar-benar mengutamakan Sarawak dan rakyatnya.

“Saya yakin, mandat kepada GPS kelak akan memastikan rancangan menjadikan Sarawak negeri maju 2030 dapat direalisasikan,” jelasnya.