KUCHING: Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique memuji Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) yang ditubuhkan di Sarawak.

Menurutnya, ia merupakan satu badan unik dan boleh mempromosikan kerjasama, persefahaman, toleransi, penerimaan serta sikap saling menghormati antara agama Islam dan lain-lain agama di negeri ini.

“Ia juga merupakan satu organisasi yang sangat praktikal dan penting,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah di pejabatnya di sini, semalam.

Uggah dilantik sebagai Pengerusi Unifor dan unit tersebut dibentuk pada 2016 oleh mantan Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan diteruskan penggantinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Kata Halimah, mereka akan terus belajar banyak dari Sarawak mengenai gaya mempromosikan dan memperkukuhkan toleransi, perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama.

“Dan Unifor merupakan kayu ukur yang sempurna untuk mencapai makna perpaduan yang kita mahu,”katanya.

Dalam hal berkaitan jelasnya, beliau mengadakan pertemuan dengan Yang diPertuan Agong baru-baru ini dan memaklumkan kepada baginda tentang Unifor termasuk peranan dan objektifnya.

“Baginda ingin mengetahui peranan kementerian dalam mempromosikan perpaduan dan keharmonian antara agama.

“Dan saya akan bertemu dengan baginda sekali lagi bersama-sama dengan ketua agama pelbagai peringkat termasuk menjemput Datuk Amar Uggah menghadiri mesyuarat tersebut,” ujarnya.

Halimah memberitahu, kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan Unifor dan belajar daripada kesungguhan Sarawak menangani masalah agama.

“Kami ingin mengambil dan menyesuaikan konsep Unifor ke dalam Jawatankuasa Keharmonian Kaum kami. Tolong bimbing dan berikan nasihat kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Uggah dalam ucapannya berkata, Unifor telah memainkan peranannya untuk terus meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak termasuk menyelesaikan pelbagai isu tanpa diskriminasi.

“Unifor merupakan jambatan antara pelbagai kumpulan agama dengan agama Islam. Pelbagai isu yang dapat membawa kepada konflik dibincangkan secara baik dan diselesai untuk faedah semua orang,” katanya.

Katanya, ini adalah untuk kepentingan negara supaya rakyat terus menikmati keharmonian dan perpaduan pelbagai kaum dan agama di Sarawak.

“Kementerian Perpaduan Nasional merupakan satu kementerian yang paling penting. Sebab itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin memutuskan untuk menjadikan sebagai satu kementerian sendiri,” ujarnya.

Untuk rekod, Pengarah Unifor Richard Lon mendedahkan bahawa daripada 2,6 juta penduduk Sarawak (2013) kira-kira 1.1 juta (42.6 peratus) adalah Kristian, 837,200 (32.2 peratus) Islam, 351,000 Buddha (13.5 peratus) dan 304,000 (11.7 peratus) mengamalkan kepercayaan lain.

Dan di negeri ini, terdapat terdapat kira-kira 2,335 gereja dan kuil.

Pada majlis tersebut, Halimah menyampaikan cek berjumlah RM3,625,-766 manakala RM3,165,800 diserahkan kepada Rukun Tetangga Negeri dan RM459,966 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat diwakili Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.