SIBU: Orang ramai di sini dinasihati supaya menjauhkan diri daripada haiwan liar dan tidak mengambil haiwan liar lebih-lebih lagi anjing sebagai haiwan peliharaan.

Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu dalam satu kenyataannya semalam berkata, orang ramai diingatkan sentiasa menjaga haiwan peliharaan dengan sempurna dan tidak membiarkan anjing berkeliaran di kawasan luar rumah serta bergaul dengan haiwan liar lain.

Ia juga menggesa orang ramai supaya tidak mengambil haiwan liar seperti anjing sebagai haiwan kesayangan. “Sekiranya orang ramai digigit anjing, segera cuci luka itu dengan sabun dan air mengalir selama 15 minit dan segera dapatkan rawatan luka gigitan di klinik dan hospital berhampiran.

“Patuhi arahan doktor, sekiranya diperlukan, suntikan vaksin antirabies mengikut jadual suntikan,” tegasnya lagi.

Kenyataan itu turut mengingatkan agar orang ramai sentiasa menjauhi diri daripada anjing yang berkelakuan luar biasa seperti air liur berlebihan, garang dan mengigit sebarangan.

Selain itu, jelasnya, anjing lumpuh atau pergerakan tidak menentu harus dijauhi. “Anjing yang dijangkiti rabies boleh dilihat daripada sikapnya kurang selera makan atau susah menelan,” ujarnya.

Sila layari laman sesawang www.infosihat. gov.my atau www.myhealth.gov.my bagi maklumat lanjut.