KUCHING: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak akan menubuhkan pasukan petugas ekonomi kreatif di peringkat persekutuan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, di sisi Sarawak, pasukan berkenaan di bawah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Saya dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri akan menjadi pengerusi bersama apabila pasukan ini diletakkan di bawah dua agensi utama.

“Tujuannya untuk bersama-sama membangunkan serta mempromosikan kesenian dan kebudayaan di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Logo Hari Malaysia di sini semalam.

Menurut Saifuddin, di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) terdapat elemen-elemen seni dan budaya.

“Oleh itu, kedua-dua agensi utama dan di peringkat persekutuan serta bersama-sama Kerajaan Sarawak, maka industri kreatif dibangunkan secara menyeluruh,” ujarnya.

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat terhadap Karim dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sementara itu, Karim menyambut baik kerjasama berkenaan dan berkata ia adalah untuk manfaat bersama.