BAU: Tindakan mencurigakan seorang lelaki menerima padah setelah didapati membawa dadah jenis syabu ketika motosikal yang ditungganginya ditahan polis di tepi Jalan Blacksmith, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, suspek ditahan oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Bau ketika membuat rondaan di lokasi sekitar jam 11.30 malam.

Menurutnya, suspek yang mengaku sebagai penganggur merupakan seorang warga tempatan berusia 25 tahun.

“Suspek ketika ditahan telah mengeluarkan satu beg dari poket kecil seluar bahagian hadapan yang dipakainya kepada polis.

“Pemeriksaan mendapati beg tersebut mengandungi lapan peket plastik kecil lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 5.10 gram,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, suspek bersama barangan kes telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tindakan lanjut.

Dedahnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Tambahnya, semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau.

Tegasnya, suspek kini ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 39A(1) ADB 1952 serta ditahan reman pada 11 Julai 2020.

Ujarnya, jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan disebat tidak melebihi sembilan kali.