KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memperuntukkan RM70 juta bagi membantu penggiat industri pembinaan yang terkesan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menerusi pelaksanaan beberapa program strategik.

Menteri Kanan (Infrastruktur) yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata program itu yang akan dilaksanakan pada tahun ini juga, akan memberi pendedahan serta melatih 30,000 penggiat industri, merangkumi kontraktor, pekerja pembinaan dan belia, dalam pelbagai bidang kemahiran.

“Sejumlah 17,700 pekerja pembinaan tempatan dan juga golongan belia tempatan bakal mendapat manfaat daripada program-program berbentuk latihan ‘skilling’ (kemahiran), ‘reskilling’, ‘upskilling’ serta akreditasi kemahiran yang akan dilaksanakan.

“Usaha ini dilihat mampu meningkatkan kemahiran pekerja dan belia tempatan dalam bidang berimpak tinggi untuk kerjaya dalam industri pembinaan, seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Fadillah berkata CIDB juga akan menyediakan program perantisan, melibatkan 7,800 belia tempatan yang akan ditempatkan di syarikat-syarikat pembinaan untuk dilatih dan seterusnya memperoleh pengalaman bekerja dalam industri pembinaan.

Seramai 3,700 pekerja pembinaan dan belia tempatan juga akan dilatih dalam bidang penyeliaan dan pengurusan projek, manakala 400 lagi akan dilatih dalam bidang keselamatan tapak bina.

“Bagi memudahkan pengguna dan pemilik rumah membuat carian dan mendapatkan perkhidmatan kontraktor-kontraktor kecil tempatan, CIDB telah membangunkan aplikasi mudah alih Contractor4U.

“Pendaftaran untuk aplikasi itu dibuka kepada semua kontraktor, terutamanya kontraktor G1 dan G3. Setakat ini, seramai 4,500 kontraktor telah berdaftar dalam aplikasi itu,” katanya. — Bernama