TAHAP Tahap kecergasan fizikal atlet bina badan wanita Sarawak kini semakin meningkat apabila dapat kembali berlatih di pusat latihan gimanasium yang mula dibuka pada 17 Jun lepas.

Philomena Dexclyn Siar, 37, pernah mewakili negara dan meraih pingat perak dalam Kejuaraan Bina Badan Dan Sukan Fizikal Asia Tenggara Kali Ke-16 di Yangon berkata, dia lega dapat kembali berlatih sepenuhnya di pusat latihan.

“Saya amat gembira dapat kembali berlatih ke pusat latihan gimnasium setelah tiga bulan pusat berkenaan ditutup ekoran penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, Philomena pernah memberitahu bahawa pembukaan pusat latihan dapat mengurangkan kebimbangan dalam persediaan ke pertandingan yang akan dihadapi meskipun ditunda ke tahun hadapan.

“Sebagai atlet dalam sukan bina badan, persiapan mengambil masa yang konsisten dan amat memerlukan senaman bebanan yang sangat intensif dan padu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau kini sedang dalam proses melakukan persiapan kedua-dua kejohanan peringkat kebangsaan. Pertandingan tersebut adalah Kejuaraan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia ke-12 di Uzbekistan pada bulan Oktober atau November 2021.

Pertandingan kedua ialah Kejuaraan Bina Badan Dan Sukan Fizikal Asia ke-54 pada 1 September hingga 7 September 2021.

Selain itu, beliau juga kini giat melatih atlet gusti lengan wanita Sarawak, Abigail Kee yang pernah meraih dua pingat perak pada Kejohanan Gusti Lengan Dunia Persekutuan Gusti Lengan Antarabangsa (IFA) 2019 di Poland.