LIMBANG: Bermula 1 Ogos negara Brunei Darussalam akan mengenakan Perintah Bayaran Keluar dan Masuk sebanyak $3 dolar bersamaan dengan RM9.20 kepada warganegara dan pelawat luar.

Perkara ini dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi Negara Brunei dengan mengenakan caj perkhidmatan kepada setiap individu yang keluar masuk negara tersebut melalui pos-pos kawalan darat.

Namun pada masa sama, caj tol Jambatan Rasau Kuala Belait turut akan dimansuhkan serentak arahan caj itu berkuat kuasa.

Kata kenyataan itu lagi, pelaksanaan caj itu bagi menyelaraskan bayaran dan caj-caj yang dikenakan kepada orang ramai yang keluar atau masuk melalui udara dan laut.

“Caj ini akan dikenakan kepada semua yang hendak keluar atau masuk ke negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat sama ada menggunakan kenderaan ataupun berjalan kaki.

“Kadar caj $3.00 dolar seorang bagi setiap satu hala perjalanan,” menurut kenyataan media itu.

“Tiada sebarang caj bagi kenderaan milik Kerajaan Brunei dan negara luar bagi tujuan rasmi, kenderaan milik angkatan tentera Brunei, kenderaan digunakan bagi tujuan bantuan kebakaran, ambulans dan polis dan kenderaan yang digunakan bagi tujuan pengebumian,” jelasnya.

Orang ramai yang hendak melakukan perjalanan keluar atau masuk ke Brunei hendaklah melakukan permohonan, pendaftaran dan pembayaran melalui Exit and Entry System (EES),Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.