BEKALAN makanan bukan masalah kepada rakyat di Malaysia khususnya Sarawak sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak komited dalam membantu rakyat ketika berhadapan dengan krisis tersebut. Rakyat dibantu bukan sahaja di kawasan luar bandar, malah kawasan bandar dan sehingga kini bekalan makanan mencukupi termasuk pada musim perayaan.

Kedua-dua kerajaan terbukti prihatin terhadap nasib rakyat sehingga mampu mengeluarkan peruntukan yang besar untuk banyak perkara termasuk bantuan makanan.

Kerajaan Sarawak telah membelanjakan sejumlah RM16.4 juta bagi Bantuan Makanan Sarawakku Sayang (BMSS) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kerajaan Sarawak memandang serius nasib rakyat terutama mereka yang tinggal dalam kawasan pedalaman di Sarawak sehingga menubuhkan satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, bahawa bantuan makanan ini merupakan bekalan makanan asas dan diagihkan kepada golongan yang layak di Sarawak Bantuan tersebut juga telah memberi manfaat kepada 380,887 Ketua Isi Rumah (KIR) di seluruh negeri ini.

Selain itu, dalam membantu rakyat di negara ini Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan bantuan khas makanan yang berjumlah RM3.1 juta di bawah Program bantuan Khas Bakul Makanan Kawasan Parlimen yang melibatkan lebih kurang 40,000 KIR dan RM582,500 Bantuan Khas di bawah Tabung Bantuan Covid-19 (Nadma) yang melibatkan lebih kurang 11,600 penerima.

Pengagihan bekalan makanan tersebut telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan serta pertubuhan bukan kerajaan NGO. Perkara tersebut merupakan bukti bahawa kerajaan benarbenar komited dalam membantu rakyat di negara dan negeri.

Penghantaran makanan ke kawasan pedalaman turut dilaksanakan dan ia melibatkan pelbagai agensi dalam melaksanakan perkara tersebut. Apa yang dapat dikatakan tiada rakyat yang berlapar ketika tempoh PKP. Tidak cukup dengan itu, wakil rakyat di negeri ini juga tidak terkecuali daripada menghulurkan bantuan makanan kepada rakyat.

Misalnya, Ahli Parlimen Satubong merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menyumbang bantuan makanan asas kepada 3,320 orang. Ia merupakan bukti prihatin dengan kekangan yang dihadapi oleh golongan yang kurang berkemampuan ekoran krisis PKP.

Bantuan tersebut telah diagihkan kepada para penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Datu, Pantai Damai dan Demak Laut. Ini jelas membuktikan bahawa rakyat sentiasa diutamakan sepanjang pandemik Covid-19. Oleh itu, sebagai rakyat, kita perlu bersyukur terhadap apa yang telah kita nikmati selama ini.

Sebagai tanda kesyukuran, kita perlu menghargainya dengan sokongan padu terhadap pelbagai program pembangunan yang sedang dan dirancang oleh pihak kerajaan. Sokongan rakyat amat penting, agar segala program dan agenda kerajaan berjalan lancar, dan siap seperti yang dijadualkan.

Seperti yang kita sedia maklum, banyak lagi program pembangunan yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan Pusat di negeri ini selepas ini. Oleh itu, sokongan padu rakyat amat diperlukan agar ia dapat direalisasikan.