KUCHING: Tiga lelaki warga tempatan disyaki memandu dalam keadaan mabuk berjaya dicekup setelah gagal meloloskan diri daripada sekatan jalan raya yang diadakan pihak penguat kuasa di Jalan Padungan, di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, ketiga-tiga suspek tersebut antara pengguna jalan raya yang ditahan atas kesalahan trafik hasil operasi sekitar jam 9.30 malam sehingga 1 pagi.

Menurutnya, operasi terbabit dijalankan oleh 10 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching serta dibantu empat anggota Unit Peronda (MPV) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Hasil ujian bacaan alkohol menggunakan SD2+ – mendapati ketigatiga suspek positif alkohol manakala ujian penafasan kedua mendapati dua daripadanya positif dan seorang lagi negatif.

“Suspek kini ditahan dan dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan siasatan lanjut dilakukan,” jelasnya ketika ditemui Suara Sarawak semalam.

Operasi itu turut mengeluarkan sejumlah 35 saman Pol 257 – saman dikeluarkan secara langsung kepada pesalah trafik apabila kesalahan dikesan dan diserahkan kepada pemandu atau pengguna jalan raya – hasil pemeriksaan terhadap 57 kenderaan dan 83 individu pengguna jalan raya.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti dan dikenakan saman termasuk tujuh kesalahan gagal menunjukkan lesen memandu, tujuh kesalahan melibatkan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan empat gagal mempamerkan cukai jalan.

“Selain itu, turut disaman kesalahan trafik di bawah tiada lesen memandu, ubah suai ekzos, serta tidak menggunakan topi keledar,” tambahnya lanjut.

Dalam pada itu ujarnya, pecahan kenderaan yang diperiksa hasil operasi membabitkan 32 kereta, 16 motosikal, enam pikap dan tiga buah van.