KUCHING: Orang ramai di Sarawak digesa supaya tidak leka dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) susulan pertambahan kes positif COVID-19 di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata mungkin ada yang menganggap oleh kerana dalam tempoh tujuh hari sejak 28 Jun lepas Sarawak tidak mencatat sebarang kes positif, ia bererti negeri ini sudah bebas daripada wabak itu.

“Tanggapan itu salah kerana wabak itu masih ada dan masyarakat mesti mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya pada sidang media COVID-19 di bangunan lama Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Untuk rekod, sembilan orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital di Sarawak dan seorang lagi masih ditempatkan di unit rawatan rapi, dan hari ini 12 pesakit di bawah pemantauan (PUI-Patients Under Investigation) baharu dilaporkan, dua kes masih menunggu ujian makmal dengan jumlah kematian kekal 18 orang.

Douglas Uggah berkata JPBN hari ini telah memutuskan semua warganegara asing yang mempunyai permit kerja sah dan pernah ke luar negara dalam tempoh 30 hari, dibenarkan masuk ke Sarawak, dan wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin ditetapkan.

“Ujian COVID-19 akan diambil pada hari kedua serta hari ke-10, dan semua kos kuarantin dan ujian berkenaan akan ditanggung oleh majikan,” katanya.– BERNAMA