BINTULU: Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah dalam perancangan membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Pusat Latihan Pertanian, Sungai Sebiew dengan keluasan 50 hektar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sebagai permulaan, sejumlah 12 hektar kawasan dibangunkan dengan pelbagai tanaman untuk sayur-sayuran.

Menurutnya, Taman Kekal Pengeluaran Makanan ini akan dibangunkan dengan pendekatan baharu yang lebih baik dan teratur seperti di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Rampangi dan Sungai Baji di Sarikei.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri taklimat Tabung Kemudahan Pertanian bersama-sama wakil rakyat tempatan bertempat di Pusat Latihan Pertanian Sungai Sebiew beliau berkata, Bintulu berpotensi sebagai pengeluar makanan berikutan permintaan tinggi dan pasaran meluas terhadap komoditi tersebut.

Taman Kekal Pengeluaran Makanan merupakan satu program kerajaan bertujuan mewujudkan zon kekal pengeluaran tanaman makanan. Program itu juga menggalakkan penglibatan usahawan tani dan sektor swasta dalam pengeluaran makanan, meningkatkan pengeluaran makanan negara yang mencukupi, berkualiti dan mampan.

Menteri Utiliti merangkap Adun Kemena Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (UndangUndang dan Adat Bumiputera) merangkap Adun Kakus, Datuk John Sikie Tayai, Adun Samalaju, Majang Renggi, Adun Murum, Kennedy Chuk Pai Ugon, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dr Alvin Chai Lian Kuet dan pemangku Pegawai Pertanian Bintulu, Anggang anak Jimbun hadir sama.